Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, May 15, 2016

Biar BN dan PAS tentukan, Pakatan Harapan tak perlu menyibuk


Kadang kala, agak pedih juga jika direnungkan sindiran Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang terhadap parti pembangkang yang cuba mencatur strategi di dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bila disebut ‘ukur baju di badan sendiri’, maka kita pun tahu kepada siapakah kata-kata pedas itu ditujukan. Kita pun tahu siapakah yang sebelum ini secara tradisi bertanding di kedua parlimen itu. Siapa lagi jika bukan UMNO dan PAS, bukan?

Tradisinya sejak berlaku 3 kali pilihan raya di kedua kawasan tersebut, UMNO bertanding mewakili BN. Kerusi itu kuota UMNO. MCA, MIC dan lai-lain parti komponen BN faham tentang itu. Mereka tidak pula cuba mencabar mahu bertanding di situ.

Manakala PAS pula, sama seperti UMNO, memang itu kerusi yang mereka cuba rebut sejak dulu lagi. Malah ketika bersama Pakatan Haram yang sudah ditalkin dan dikuburkan dulu pun, kedua kerusi berkenaan ditandingi PAS.

Maksudnya, PAS sudah mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi di situ. Mereka punya pengaruh dan mampu mencabar BN di kedua parlimen tersebut. PKR pun tidak berani ‘curi’ kuota kerusi PAS di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelum ini.

Tapi kali ini, tiba-tiba pula ada pihak yang cuba mengarahkan PAS supaya pilih antara satu kerusi untuk bertanding? Siapa mereka di mata PAS? ‘Syaitan dalam jemaah’ yang hampir menghancurkan PAS dari dalam, tiba-tiba mahu ‘mengajar’ PAS?

Apakah mereka fikir parti mereka terlalu kuat berbanding PAS? Jika benar rasa kuat sangat, cubalah masuk bertanding di kedua kawasan tersebut. Tidak perlu arahkan PAS untuk tarik diri di mana-mana PRK.
Jika terlalu yakin mampu menang, mana-mana pihak pun boleh bertanding. Ini negara demokrasi. Jika ada calon bebas yang mahu mencuba nasib pun, turut dialu-alukan. Lebih meriah jika demokrasi yang dikatakan ‘mati’ itu dibuktikan memang sebenarnya masih hidup subur di negara kita.

Pernah berlaku di PRK Dun Bukit Selambau di Kedah sehingga menyaksikan berbelas calon bertanding merebut kerusi Dun berkenaan. Tiada masalah yang timbul pun. Itulah bukti demokrasi ‘mati’. Kenapa perlu ditahan PAS untuk bertanding di mana yang mereka suka?

Sekiranya penulis ditempat Abdul Hadi sekali pun, jika melepaskan kerusi yang sememangnya tradisi milik PAS, maka itu tandanya penulis tidak tegas dan masih mengikut ‘jari telunjuk’ mereka yang pernah cuba menjahanamkan PAS dari dalam dan luar.

Maka tepatlah kenyataan Abdul Hadi itu untuk tidak mempedulikan Pakatan Harapan yang bercita-cita merampas hak PAS untuk bertanding di kedua kerusi tradisi itu. Jika mahu lihat pembangkang bertembung satu lawan satu dengan BN, maka biarlah PAS saja yang bertanding di kedua parlimen itu. Pakatan Harapan tak perlu menyibuk pun…