Wednesday, May 11, 2016

'DAP perkuda anak Melayu untuk agenda cauvinis, rasis'

DAP sering-kali didakwa didorong oleh agenda cauvinis Cina yang menurut Umno adalah bertujuan untuk melemahkan kuasa politik Melayu.

Pemimpin parti pembangkang itu juga berulang kali menafikan dakwaan berkenaan sementara berusaha memikat lebih ramai orang Melayu untuk menyertai parti itu bagi menghapuskan persepsi negatif.

Namun keceluparan penceramah lantang DAP Hew Kuan Yew yang dikenali sebagai ‘superman’ di kalangan penyokong pada ucapannya semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu, memberi penentang parti itu lebih banyak alasan menuduh mereka sebagai rasis.

Seorang pemimpin bahagian Umno menuduh DAP memperkudakan anak Melayu dan meletakkan mereka sebagai calon pilihan raya dengan objektif tersirat bagi melanjutkan agenda cauvinis dan rasis mereka.

Merujuk ucapan Hew, Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique berkata adalah jelas objektif DAP mahu menghancurkan kekuatan politik bangsa Melayu di negara ini.

“Selama ini DAP berulang kali mendakwa bahawa parti mereka itu parti berbilang kaum. Mereka mula merekrut anak-anak muda Melayu kononnya untuk memperlihatkan bahawa DAP bukan parti untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk semua kaum.

“Namun apabila kita mendengar ceramah Hew dalam kempennya di Sarawak baru-baru ini, maka ternyatalah DAP sebenarnya mempergunakan anak-anak Melayu itu untuk mencengkam bangsa Melayu itu sendiri," katanya yang dipetik portal Umno Online.

“Ceramah yang diberikan oleh Hew itu memperlihatkan ideologi rasis dan cauvinis sememangnya menjadi pegangan kepimpinan DAP dari peringkat atas dan berakar umbi sehingga ke peringkat bawahan, biarpun DAP cuba menafikannya,” katanya.

Menurut Zainal, kata-kata Hew membuktikan bahawa selama ini kepimpinan DAP telah berbohong kepada rakyat, dengan mendakwa bahawa parti itu membela nasib semua kaum.

“Pada pandangan saya, bukan hanya segelintir orang Melayu sahaja yang tertipu dengan pembohongan mereka itu bahkan kaum Cina dan India juga turut tertipu dengan retorik politik DAP yang cuba menyembunyi politik kebencian yang menjadi agenda sulit mereka itu,” katanya.
Kenyataan Hew juga menarik bidasan daripada Pemuda MIC yang menegaskan bahawa ini bukan kali pertama pemimpin DAP itu mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

"Dia melontarkan kenyataan berbaur perkauman, seksis dan kesat manakala DAP seolah-olah menggalakkan dan merestui kenyataan seperti itu.

"DAP seharusnya mengutuk kenyataan itu jika mahu menjadi sebuah parti politik pelbagai kaum di negara ini. Hew memainkan isu kaum. Menjelang pilihan raya negeri Sarawak, dia sekali lagi melakukannya dengan cara yang lebih keji, "kata C Sivaraajh dalam satu kenyataan media.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-