Sunday, May 15, 2016

Dr M mahu pembangkang tewaskan BN dalam 2 PRK

Shakira Buang
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan.

Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini.

"Bulan puasa ini kita akan berdepan dengan dua pilihan raya kecil, saya berharap kita semua akan mengalahkan BN dalam PRK kali ini.

"Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang.

"Kalau kita hanya ada satu lawan satu kita boleh tentukan kekalahan BN dengan mengundi sebarapa banyak mungkin kepada calon yang melawan BN," kata Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

Meskipun dihadiri barisan kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN), himpunan kali ini dilihat kurang mendapat sambutan apabila hanya dihadiri kira-kira 300 penyokong.

Bagaimanapun jumlah kehadiran dikatakan merosot kerana kerana malam tadi turut berlangsung perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam.

Pembangkang perlu bersatu

Bercakap mengenai langkah PAS meletakkan calon di dua kerusi berkenaan, jelas Mahathir pembangkang seharusnya bersatu dan tidak menjadikan isu perebutan kerusi sebagai faktor kemenangan BN di dua PRK berkenaan.

Justeru, Tun Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu bagi menumbangkan BN.

"Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

"Ini akan menjadi bukti bahawa kemenangan di Sarawak bukan kemenangan Najib walapun dihambur begitu banyak wang disana tetapi mereka memikir tentang kepentingan Sarawak semata-mata bukan berkenaan dengan sokongan kepada Najib," tegas Mahathir.

Belajar dari kesilapan di Sarawak

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata HARAPAN masih belum memutuskan parti mana yang akan bertanding di PRK berkenaan.

"Yang penting prinsip kita pertahankan dan juga didokong oleh Tun Mahathir malam ini bahawa PRK harus satu lawan satu dan kita mesti tumbangkan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Itu satu pembaharuan yang dizahirkan oleh Mahathir dan ini memberikan semangat kepada kita semua supaya belajar daripada kesilapan di Sarawak dan semua parti mesti kembali ke meja rundingan untuk memastikan hasrat rakyat itu dapat dipenuhi," katanya.

Kerusi parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh 18 Jun depan bagi tarikh pembuangan undi serentak bagi Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS hanya kalah tipis kira-kira 399 majoriti undi di Sungai Besar dan hanya ketinggalan kira-kira 1,082 majoriti undi di Kuala Kangsar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-