Sunday, May 8, 2016

Keputusan: Semua calon AMANAH hilang deposit

Adam Abu Bakar
May 7, 2016

Suatu kejayaan untuk parti yang baru sahaja mencecah usia tujuh bulan sekiranya berjaya memperolehi semula wang deposit.
PETALING JAYA: AMANAH beranggapan adalah perkara biasa untuk calon kehilangan wang deposit pada pilihan raya, khasnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke-11.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, ia adalah satu kejayaan, jika ada di kalangan calon parti yang baru berusia tujuh bulan itu memperoleh semula wang deposit mereka.

“Hilang deposit di Sarawak ini adalah perkara biasa bagi calon-calon. Mana-mana kawasan yang kita perolehi deposit itu sudah kita anggap sebagai suatu kemenangan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Anuar turut menjelaskan, pengalaman pertama parti itu bertanding pada PRN kali ini merupakan pengalaman berharga untuk AMANAH memperkenalkan parti dan logonya kepada rakyat Sarawak.

“Ia memberikan pengalaman yang cukup berharga dan sebagai parti baru untuk diperkenalkan kepada orang ramai bukanlah suatu perkara mudah.

“Jadi, tujuan kita menyertai PRN Sarawak adalah untuk memperkenalkan parti dan logo yang berusia tujuh bulan ini kepada rakyat Sarawak,” jelasnya.

Ujarnya lagi, tidak dapat dinafikan suasana politik di Sarawak berbeza dengan Semenanjung Malaysia, kerana rata-rata rakyat di negeri itu tidak memahami secara mendalam isu yang dibincangkan di Semenanjung, iaitu 1MDB dan juga isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Tambahnya, sekatan terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang ke Sarawak juga memperlihatkan demokrasi yang tidak subur di Bumi Kenyalang.

“Suasana di Sarawak ini memang kita sangat kecewa kerana demokrasi yang sangat terhakis, pilihan raya di Afrika mungkin lebih maju lagi.

“Kita sangat terasa dalam pilihan raya yang kita sertai ini. Kalau BN tidak menang dalam PRN kali ini maknanya dunia boleh kiamat kerana cara mereka berkempen iaitu menggunakan televisyen, radio dan lain-lain,” ujarnya lagi.

Semua 13 calon yang diturunkan AMANAH pada PRN Sarawak kali ini kecundang dan gagal mendapatkan kembali deposit mereka sebanyak RM5,000.

Calon-calon pilihan raya akan kehilangan wang deposit, jika mereka gagal memperolehi 1/8 daripada jumlah undi yang diperolehi semua calon bertanding di sesebuah kerusi itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-