Friday, May 13, 2016

Muhyiddin: Tak apa dicerca asalkan rakyat faham

by ANA GHOIB SYEIKH MALAYA2016-05-13

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun dilabelkan dengan pelbagai perkataan, namun beliau berpendapat bahawa menjadi satu tanggungjawab baginya untuk memastikan ahli Umno memahami isu sebenar yang berlaku dalam parti.

Menceritakan tentang Deklarasi Rakyat yang dilakukan bersama bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dan juga bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, beliau berkata ia bertujuan untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak dilucutkan jawatan perdana menteri dan bukan untuk merosakkan Umno.

“Saya tak kisah kalau mereka kata saya ini tak berguna, tak apalah. Tun Mahathir dicerca, Mukhriz apa lagi dimaki hamun. Tapi tidak mengapa.

“Yang penting rakyat mesti faham, orang Umno mesti faham. Kita dalam parti tak ada desakan untuk jadi ahli Umno, tak ada. Kita ada dalam parti untuk berjuang untuk bangsa dan agama,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ceramah ‘Selamatkan Malaysia’ di Nilai, Negeri Sembilan malam tadi.

Selain itu, anggota parlimen Pagoh itu juga sekali lagi memberitahu bahawa beliau tidak kisah menjadi ‘korban’ dan reda dengan apa yang berlaku kepada dirinya asalnya masyarakat mengetahui perkara yang melanda Najib yang juga presiden Umno iaitu berkaitan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

“Tak pernah berlaku dalam sejarah, mana ada perdana menteri pemimpin kita buat macam ini. Tak ada.

“Bila ada masalah macam ini, kita kena berani. Saya terkorban dan dikorbankan. Tak apa saya reda dan saya terima. Tak ada masalah besar.

“Tapi bagaimana untuk tentukan nasib bangsa, agama dan negara kita supaya terus terjamin dan tidak terkoban, itu bagi saya lebih penting dan rakyat mesti faham terutamanya yang berada dalam parti,” ujarnya lagi.

Muhyiddin dipecat menjadi timbalan perdana menteri pada Julai tahun lalu dan kemudian digantung sebagai timbalan presiden Umno pada Februari tahun ini.

Ia ekoran kelantangan Muhyiddin yang mengkritik pentadbiran Najib terutama melibatkan isu 1MDB dan wang derma yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri berjumlah RM2.6 bilion. – Malaysiakini / Foto FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-