Tuesday, May 3, 2016

Mukhriz catat sejarah saman fitnah setiausaha Najib - portal

Sebuah portal yang memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung tuntutan mahkamah yang difailkan pagi ini.

Mykmu.net berkata ini kali pertama seorang ahli politik menyaman seseorang kerana menuduhnya mahu menjadi perdana menteri.

Selain mendakwa bahawa Mukhriz membuat langkah bersejarah, portal itu berkata ini adalah tindakan undang-undang seumpamanya yang pertama kali di dunia.

“Sebelum ini ada orang mengaku Tuhan, mengaku Nabi, mengaku macam-macam pun takde siapa nak saman, tapi kena tuduh nak jadi perdana menteri pulak yang nak kena saman. Nak gelak ke nak nangis, dah tak tahu nak pilih macam mana dah ni.

“Yelah, bila orang ada duit, ada pengaruh, macam-macamlah boleh buat waima saman perkara-perkara yang kita rakyat biasa ni setakat mampu bayangkan saja.

“Bukan tuduhan jahat pun, tuduh nak jadi perdana menteri, tak tahulah kalau kerja jadi perdana menteri kerja orang jahat!” kata portal itu.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini memfailkan saman terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri - Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad kerana memfitnahnya menerusi beberapa kenyataan medianya.

Anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga menafikan dakwaan bahawa beliau berkomplot bersama bapanya serta bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.

Mukhriz mendakwa kenyataan media itu mencadangkan bahawa beliau akan diberikan jawatan perdana menteri sebaik sahaja Muhyiddin berundur selepas menggantikan Najib.

Beliau juga mendakwa bahawa empat kenyataan Tengku Sariffuddin sebelum ini memberi gambaran seolah-olah beliau seorang yang gila kuasa, hanya mempunyai motif untuk menjadi perdana menteri tanpa sebarang pertimbangan terhadap kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut, Mykmu.net menegaskan bahawa kenyataan Tengku Sarifuddin itu bukanlah jahat memandangkan tugas sebagai perdana menteri bukan kerja orang jahat.

“Bukan bapak dia (Mukhriz) jadi PM 22 tahun ke, jahat ke kerja tu, menjatuhkan maruah ke?” soalnya.

Dalam perkembangan yang sama, portal itu berkata Mukhriz mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan saman terhadap sesiapa sahaja, dan terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan mengenai perkara berkenaan.

“Kita pun tak pertikai hak dia nak saman itu cuma cakap dari segi sejarah yang dicipta itu sajalah. Ada kes takde kes, itu nanti kebijaksanaan Mahkamahlah yang akan menentukan.

“Kita rakyat di bawah ini pun tak sabar juga tunggu kes berjalan, nak jugak tahu, bahagian mana dalam tuduhan macam ini yang boleh menjatuhkan maruah seseorang?” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-