Friday, May 13, 2016

Nik Abduh: PAS akan buat kejutan di Sg Besar, Kuala Kangsar

Anne Muhammad 

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz berkata parti Islam itu akan membuat kejutan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Kita yakin kita boleh buat kejutan di PRK ini, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PAS malam tadi.

Bagaimanapun Nik Abduh ketika ditanya apakah bentuk kejutan itu berkata “Cukup, tunggu mesyuarat akan datang di sini”.

Dalam mesyuarat yang berlangsung selama lebih satu jam itu, Nik Abduh berkata pihaknya hanya membincangkan mengenai jentera di dalam kedua-dua PRK itu.

“Malam ni mesyuarat pertama tak banyak keputusan tapi lebih kepada susun jentera di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Mesyuarat tak bincang calon cuma tak dibaca (dalam mesyuarat) kali ni, (mungkin) akan ada dalam mesyuarat lain,” katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar menjadi kosong ekoran penyandangnya,Datuk Noriah Kasnon dan di Kerusi Kuala Kangsar, Datuk Wan Khai-ril Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata segala keputusan PAS mengenai PRK bergantung kepada sidang media dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

“Kita tidak bincang calon malam ini, semuanya kita tunggu SPR esok (hari ini)."

Takiyuddin berkata, dalam mesyuarat malam tadi juga pihaknya turut menubuhkan jawatankuasa bagi membuat post mortem kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohamad Amar Nik Abdullah.

Dalam PRN 11, PAS kalah di semua 11 kerusi yang ditandinginya di Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-