Saturday, May 7, 2016

Pemecatan ahli PAS bukan pelik - Hadi Awang

FMT Reporters
 May 7, 2016

PAS pernah berbuat demikian terhadap seorang anggota Parlimennya kerana menghadiri program anjuran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melibatkan majlis tari-menari.
PETALING JAYA: PAS mempertahan tindakannya memecat pemimpin sebagai bukan satu langkah yang baharu atau pelik untuk dibincangkan.

Ini kerana PAS sememangnya pernah berbuat demikian terhadap seorang anggota Parlimennya kerana menghadiri program anjuran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melibatkan majlis tari-menari.

Oleh itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan Jawatankuasa Tatatertib PAS memecat keahlian ADUN Salor, Datuk Husam Musa berkuatkuasa 23 April kerana melanggar disiplin parti bukan pelik.

“Ini bukan lagi perkara pelik dan bukan hanya berlaku sekarang. PAS memecat ahli yang melanggar disiplin parti,” katanya di hadapan ribuan penduduk tempatan yang hadir pada ceramah di Dataran Jeli malam semalam, lapor Harakah Daily.

Terbaru, pemimpin PAS Husam Musa dipercayai dipecat kerana tindakannya mencabar dan mengkritik PAS termasuk pemimpin PAS.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Dr Sanusi Daeng Mariok berkata tindakan tersebut diambil setelah mempertimbangkan kes ini daripada semua aspek serta mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.

Mengulas lanjut Hadi berkata PAS sehingga kini telah mempunyai seramai 1.1 juta ahli yang bernaung di 192 kawasan PAS di seluruh negara.

Katanya, rakyat di Jeli hendaklah mengambil tanggungjawab bagi merampas semula tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Jeli yang terlepas ke tangan BN beberapa penggal sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berharap rakyat Kelantan bertenang bagi menghadapi situasi terhadap pemecatan Husam.

Dalam majlis itu turut hadir sama Yang Dipertua PAS Jeli Mohd Apandi Mohamad, Naib Yang Dipertua Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Penerangan Suply Abdul Razak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-