Thursday, May 5, 2016

Pemimpin Ulama Pas pula dilarang masuk Sarawak

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
5 MEI 2016
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengesahkan beliau terpaksa pulang ke Semenanjung melalui penerbangan 7.10 malam ini selepas tidak dibenarkan memasuki Sarawak, petang tadi.

Namun beliau akur dengan hak autonomi imigresen yang diberikan oleh Perlembagaan kepada negeri itu.

“Saya tiba di Kuching dari Kuala Lumpur jam 4 petang tadi untuk tujuan meneruskan tugasan kempen pilihan raya. Ini kali ke-3 saya ke Kuching untuk pilihan raya negeri.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai imigresen bertugas bahawa saya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak. Saya bertanya, adakah peluang untuk saya merayu sekurang-kurangnya masuk dan pulang esok. Kata pegawai bertugas, ‘kami tak ada kuasa untuk menerima rayuan’,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, beberapa pimpinan pusat parti-parti pembangkang termasuk PKR, DAP dan Pas terpaksa pulang ke Semenanjung sebelum hari pengundian, Sabtu ini apabila tempoh lawatan mereka dihadkan kepada beberapa hari sahaja.

Ada juga pemimpin yang dilarang sama sekali memasuki Sarawak dan diarahkan menaiki penerbangan seterusnya pulang ke Semenanjung.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengharapkan kerajaan BN memberi lebih lagi ruang untuk mempraktikkan demokrasi dalam PRN Sarawak kali ini.

“Menyekat kemasukan ahli Parlimen kecil seperti saya tidak menguntungkan imej kerajaan BN dalam pilihanraya kali ini. Ia akan menimbulkan persoalan, adakah BN menerusi PBB merasa tergugat dalam PRN kali ini?

“Kepada sahabat-sahabat yang dibenarkan masuk untuk terus bertugas moga kemenangan menjadi milik Pas di 11 Dun yang ditandingi,” katanya.

Hari ini, beberapa pemimpin Pas pusat lain yang telah memasuki Sarawak diarah meninggalkan negeri itu, selepas menerima kebenaran memasuki Bumi Kenyalang itu sehingga 5 Mei sahaja.

Antaranya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan Tantawi; Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi serta puluhan petugas Pas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-