Friday, May 13, 2016

PRK Sungai Besar: Pencalonan Dr Khir bukan lagi isu legaliti tetapi parti mana

Oleh Lawyer Cabuk dan Amin Yatim

Desas-desus kencang sekarang ialah kemungkinan Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang akan membuat “comeback” dalam Pilihan Raya kecil Sungai Besar pada Jun nanti.

Dr Mohamad Khir Toyo yang akan dibebaskan dari hukuman penjara pada penghujung Mei ini layak bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan bermula dengan penamaan calon pada 5 Jun 2016.

Laporan akhbar The Sun semalam yang mendakwa bekas Menteri Besar Selangor dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dr Mohamad Khir Toyo tidak layak bertanding jika tidak mendapat pengampunan Di Raja adalah satu laporan yang menyesatkan.

Hukuman ke atas Dr Mohamad Khir ialah penjara 12 bulan dan dilucutkan hak setakat mana miliknya ke atas lot banglo di Shah Alam.

The Sun memetik bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, bahawa berdasarkan Artikel 48 (1) (e) Mohamad Khir tidak layak bertanding kecuali mendapat pengampunan Di Raja kerana telah dihukum penjara 12 bulan.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengenai kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen dalam fasal (e) menyebut apabila “Seseorang itu telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas”

Hukuman ini bukan sahaja menyebabkan penjawat jawatan hilang jawatan tetapi juga mereka yang dikenakan hukuman tersebut dilarang dari bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun, jika tidak mendapat pengampunan.

Dalam kes Mohamad Khir, isu yang menjadi pertikaian ialah sama ada hukuman penjara yang dikenakan selama 12 bulan atau setahun itu telah menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding selama lima tahun.

Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus sebenarnya terkhilaf dalam mentafsirkan artikel tersebut tanpa melihat keputusan Mahkamah Agung.

Memang dalam kes Fan Yew Teng v Setiausaha Dewan Rakyat pada tahun 1975, Fan telah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen setelah didenda RM 2,000.00 dan enam bulan penjara.

Bagaimanapun tafsiran terkini dan paling tinggi telah dilakukan oleh Mahkamah Agung Malaysia (Mahkamah tertinggi di Malaysia) pada tahun 1993 dalam kes Pendakwaraya lawan Leong Yin Ming. Dalam kes tersebut Mahkamah Agung memutuskan tafsiran undang-undang sesuatu yang menyebut “not less than..” mestilah lebih dari had yang disebut.

Dalam kes tersebut Mahkamah Agung memutuskan “not less than five years” (tidak kurang dari lima tahun) mesti membawa makna “five years and one day onwards” (Lima tahun sehari dan ke atas).

Berdasarkan keputusan Mahkamah Agung yang tidak pernah dicabar sehingga hari ini, maka Mohamad Khir Toyo hanya akan hilang kelayakan jika beliau dihukum penjara 12 bulan dan satu Hari.

Keputusan Kes Mahkamah Agung ini juga dipegang oleh Mahkamah Tinggi pada 2010, dalam kes Pendakwaraya lawan Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) yang didenda RM 2,000.00.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menegaskan pada penghakiman bertulisnya bahawa denda RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian Chua dari PKR tidak akan menyebabkan beliau kehilangan kerusi Parlimen Batu.

Dalam penghakiman 18 muka surat tersebut, hakim itu memetik sebahagian penghakiman hakim Mahkamah agung, Tan Sri Gunn Chit Tuan yang berkata “Tidak kurang dari” seharusnya membawa maksud “lebih daripada”.

“Maka dengan berpegang kepada keputusan dalam kes Mahkamah Agung di atas, saya berpuas hati dan berpendapat bahawa denda RM2,000 itu tidak menjadikan perayu hilang kelayakan beliau secara automatik kerana denda untuk menjadikan beliau hilang kelayakan adalah RM2,001 ke atas dan bukannya bermula daripada RM2,000.

“Keputusan Mahkamah Agung ini mengikat mahkamah rendah. Ia adalah autoriti kukuh yang boleh diguna-pakai oleh mahkamah ini,” kata hakim Ghazali.

Ada yang membangkitkan isu perlucutan hak beliau ke atas rumah tersebut sebagai denda.

Ini tidak relevan sama sekali kerana undang-undang dengan jelas menyebut denda dalam bentuk wang ringgit iaitu RM 2,000 ke atas bukannya nilai harta benda yang dirampas.

Justeru walau apa pun tafsiran The Sun dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan tersebut, secara legal, Mohamad Khir layak bertanding dalam Pilihan raya ini sebaik sahaja beliau dibebaskan oleh penjara, tanpa memerlukan sebarang pengampunan Di Raja.

Tanda Tanya

Justeru soalan yang lebih relevan ialah apakah Dr Mohamad Khir akan membuat kejutan dalam Pilihan Raya Kecil ini atau meninggalkan terus dunia politik tanah air.

Melihat kepada populariti Mohamad Khir di Sungai Besar, tidak mustahil Mohamad Khir akan membuat misi “berani mati dalam kerjaya politik” beliau buat kali terakhir.

Dalam Pilihan raya 2013, UMNO dan Barisan Nasional Sungai Besar mengalami pukulan terbesar dalam sejarah mereka dengan majoriti untuk parlimen dan kedua-dua DUN merosot begitu teruk berbanding 2008.

Ketika Barisan Nasional hilang lima negeri termasuk Selangor pada 2008, Parlimen Sungai Besar antara beberapa kawasan di seluruh negara yang kekal kukuh.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Allahyarham Dato Noriah Kasnon menang dengan majoriti 5,009 undi, Dr Mohamad Khir di DUN Sungai Panjang dengan majoriti 5,828 undi. Malah Ng Sue Lim (DAP) hanya menang dengan majoriti 190 di DUN Sekinchan.

Namun ketika seluruh negara mendapat nafas baru politik nasional dengan perubahan kepimpinan negara, Parlimen Sungai Besar hampir terlepas kepada Pakatan gara-gara kes membabitkan Ketua Bahagian mereka Mohamad Khir Toyo.

Pada 2013, majoriti untuk Parlimen SUNGAI BESAR hanya 399 undi biarpun diwakili oleh penyandang jawatan yang juga Timbalan Menteri. Majoriti DUN Sungai Besar hanya tinggal 2,183, menakala DUN Sekinchan telah meningkatkan majoriti DAP kepada 2,239.

Pada 2013, Barisan Nasional Sungai Besar kehilangan hampir lima ribu majoriti tahun 2008, biarpun dengan imej Barisan Nasional yang lebih baik dan berjaya merampas beberapa Parlimen di Selangor seperti Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Justeru jika Mohamad Khir mahukan keyakinan, statistik ini mungkin boleh memberi beliau keyakinan, walaupun ia bukan satu kepastian untuk pola pengundian dalam PRK akan datang ini.

Jika Mohamad Khir memutuskan untuk mencuba nasib, apakah Barisan Nasional dan UMNO akan mencalonkan beliau? Atau mungkinkah beliau bertanding sebagai calon bebas untuk “membalas dendam” kepada kepimpinan UMNO?

Malah tidak mustahil jika kejutan yang lebih besar ialah beliau bertanding atas tiket Pas berdasarkan hubungan baik beliau dengan Pas kawasan dan beberapa rakannya dalam Pas Pusat sekarang.

Sudah tentu pada 5 Jun 2016 nanti lebih ramai akan menumpukan mata ke Sungai Besar berbanding Kuala Kangsar. Apakah bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO undi tertinggi ini akan membuat satu kejutan segera seperti mana beliau menulis pendedahan yang mengejutkan dalam artikel terakhir sebelum beliau dipenjarakan: Catatan Di Belakang Tirai Besi.

Hanya masa akan menentukan.-MYKMU.NET

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-