Tuesday, May 3, 2016

PRNSarawak : Pembangkang tidak mampu tadbir Sarawak

Pakatan pembangkang rapuh dan tiada persefahaman sehingga menyaksikan pertindihan calon mereka berlawan di enam kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) ini sekali gus menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk memerintah Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PKR dan DAP jelas sudah berpecah manakala Pas pula telah keluar daripada pakatan.

“Tidak boleh kita bergantung harap kepada mereka, tidak ada persefahaman antara satu sama lain, justeru masakan boleh mentadbir negara ini, apa lagi Sarawak.

“Jadi, janganlah persia-siakan undi kita nanti. Kalau tuan-tuan sekalian memilih BN, kita telah pilih sebuah kerajaan yang mempunyai agenda pembangunan.

“Kita bukan pilih individu, individu tidak kuat, yang kuat adalah parti BN. Saya pun tidak kuat sebagai Pengerusi BN secara peribadi tetapi saya kuat apabila jadi Pengerusi BN. Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) kuat bila jadi Pengerusi BN Sarawak dan calon-calon kita pun jadi kuat bila jadi calon BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program walkabout atau tinjauan mesra di Dataran Menara Jam Bandar Saratok hari ini.

Yang turut hadir, dua calon BN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Kilat Beriak dan Datuk Wahab Abdul Aziz (DUN Kalaka) dengan disertai lebih 4,000 penduduk di sini.

Menurut Perdana Menteri, beliau yakin pengundi akan memberi pertimbangan menggunakan akal dan fikiran dalam menentukan kepemimpinan yang dapat membawa pembangunan yang lebih banyak di negeri ini.

“Soal utama di Sarawak ialah bagaimana nak tambah lagi pembangunan dan kemudahan infrastruktur. Kalau nak bawa Sarawak ke tahap kemajuan lebih tinggi, kita perlukan pembangunan infrastruktur yang menelan belanja bukan berjuta-juta, tetapi berbilion-bilion ringgit,” jelasnya.

Beliau berkata, proses pembangunan pula bukannya memakan masa sekejap satu atau dua tahun, tetapi memerlukan banyak tahun sehingga 10 tahun akan datang, barulah lengkap agenda pembangunan infrastruktur untuk negeri seluas Sarawak.

Mengulas mengenai kerusi Krian yang sebelum ini dimenangi PKR, Najib berkata, BN menampilkan calon baharu, orang muda dan tempatan yang merupakan peguam yang diyakini dapat membawa pembangunan di sini.

“Saya harap beri ruang kepada dia lima tahun akan datang dan tengok apa dia boleh dibuat kerana kerajaan Persekutuan dan negeri ada dibelakangnya. Bagi calon Kalaka, saya percaya beliau akan terus berkhidmat dengan baik,” katanya.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan kelulusan peruntukan bagi pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Krian dari pekan Saratok, jalan dari Kampung Kupang dan persimpangan ke Jalan Bajau (18 kilometer) yang keseluruhannya menelan kos RM90 juta untuk DUN Kalaka.

“Bagi kawasan DUN Krian pula, Kilat akan menyenaraikan projek-projek untuk dipertimbang diluluskan,” katanya.

Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-