Saturday, May 21, 2016

"Warkah Anwar, warkah pencerahan"

Shukri Razab 
 Hari ini, 9:51 pagi Hari ini, 10:01 pagi
ULASAN :  Berulang kali saya menekuni warkah Anwar Ibrahim dari penjara. Saya bersyukur sebagai ahli biasa parti Keadilan, saya berpeluang menelaah watikah yang sangat bermakna. Warkah yang bagi saya menjadi pencerah kepada kekeliruan yang
membenak dalam minda masyarakat akar umbi, khususnya penyokong parti pembangkang.

Sejak terlibatnya beberapa kepimpinan Pakatan Harapan dengan kempen Deklarasi Rakyat yang diterajui oleh Tun Mahathir Mohamad, ada bisik-bisik tidak senang diperingkat masyarakat awam yang tertanya-tanya apa sebenarnya kehendak kepimpinan Pakatan Harapan menyokong kempen ini.

Buktinya, dalam tiga forum mengenai Deklarasi Rakyat yang saya ikuti, sangat jelas orang awam khususnya anak muda sangat dingin dalam melayani Deklarasi Rakyat ini. Akibat Deklarasi Rakyat ini juga, kumpulan pro-perubahan yang melatari perjuangan rakyat selama ini juga terpecah-pecah. Ada yang memilih untuk menyokong, ada yang menentang dan
ada juga yang berkecuali lalu berdiam. Keadaan ini sudah pasti menggugat keutuhan jentera perubahan dalam berhadapan Barisan Nasional yang sentiasa ditopang kuasa wang ringgit.

'Tidak selesa'
Orang awam, khususnya penyokong pembangkang yang tidak selesa dengan kempen Deklarasi Rakyat sudah pasti merasa tenang dengan hadirnya Warkah Anwar ini. Paling kurang, mereka memahami bahawa individu yang disepakati oleh semua komponen Pembangkang bakal menjadi perdana menteri Malaysia, juga mengambil pendirian untuk berbeza
dengan kempen Deklarasi Rakyat.

Selama ini ramai yang kecewa apabila melihat seolah-olah pemimpin pembangkang jatuh ke dalam kepentingan politik Tun Mahathir. Media sosial dilimpahi sumpah seranah anak muda pro-reformasi terhadap pemimpin pembangkang yang sepentas dengan Tun Mahathir. Warkah ini semestinya memberi gambaran kepada masyarakat di luar sana bahawa kebimbangan mereka juga dikongsi oleh Anwar Ibrahim dari dalam penjara, dan boleh dikatakan Anwar telah bersuara bagi pihak mereka.

'Pergiat agenda reformasi'
Publik atau penyokong pembangkang yang tidak senang dengan kempen Deklarasi Rakyat pada awalnya bingung apabila Anwar dikatakan turut bersetuju dengan inisiatif ini. Namun warkah ini memperjelas segalanya. Anwar bersetuju dalam
kerangka yang sangat berwaspada. Dalam warkah tersebut Anwar menyatakan kebimbangan dan harapan agar jentera parti mula meletakkan jarak dengan kempen deklarasi ini.

Saya kira Pakatan Harapan sudah memulakan inisiatif persis seperti yang disarankan oleh Anwar melalui warkahnya. Iaitu biarlah Pakatan Harapan yang mengelola dan meneraju kempen atas nama dan intipati yang ditetapkan pembangkang,
bukan Tun Mahathir. Perkara ini sudah bergerak di Parlimen Pandan apabila Pakatan Harapan melancarkan Kempen Muafakat Selamatkan Malaysia yang mengandungi tiga tuntutan iaitu Bebaskan Institusi, Undur Najib dan Bebas Anwar.

Tuntutan bebas Anwar dalam kempen ini menetapkan jarak dan perbezaan antara Deklarasi Rakyat dan Muafakat Selamatkan Malaysia. Namun nama Muafakat Selamatkan Malaysia ini kian tenggelam bersama tuntutan Bebas Anwar dan
kempen Deklarasi Rakyat terus dominan.

Anwar melalui warkahnya tegas menyatakan walaupun di pentas Deklarasi Rakyat pemimpin pembangkang petah berceramah malah sinikal terhadap sejarah lama dengan Tun Mahathir, namun yang dominan tetap Tun Mahathir. Kempen
itu sudah dimiliki sepenuhnya oleh Mahathir dan pasukannya.

Warkah amaran
Tun Mahathir perlu sedar bahawa sokongan yang diberikan oleh pemimpin pembangkang kepada kempen Deklarasi bukan bukti penerimaan rakyat terhadap beliau dan pasukannya. Di bawah tema menuntut pengunduran Najib Razak, saya tidak
terkejut jika deklarasi itu berjaya mengutip dua juta tandatangan sekalipun.

Namun jika diperhalusi sama ada rakyat benar-benar yakin Tun Mahathir dan pasukannya memang berniat melaksanakan cita-cita perubahan di Malaysia, saya yakin jumlah yang percaya terlalu sedikit. Ditambah pula dengan luncurnya warkah dari penjara ini, maka pasukan Tun Mahathir perlu sedar bahawa keberadaan mereka adalah atas ehsan masyarakat yang prihatin terhadap masa depan negara.

Persoalan tak terjawab
Perubahan mesti berlaku secara jujur dan beramanah bukan melalui tipu muslihat dan politiking yang melampau. Itu mesej Anwar yang saya dan kita perlu tekuni bersama. Jika kerjasama dengan kempen Deklarasi Rakyat ini sekadar ingin diambil
peluang oleh sesetengah pihak untuk merapati pengundi melayu, maka itu tidak jujur. Apatah lagi jika kerjasama ini dibuat dengan cita-cita yang mensasarkan kepentingan peribadi.

Itulah yang sedang dinilai oleh rakyat. Kerjasama ini dijalin tanpa terma yang jelas. Jika Najib jatuh, siapa bakal PM, dan bagaimana pula dengan rupa bentuk kabinet pasca Najib jatuh. Apakah Mahathir akan kembali aktif terlibat dalam percaturan negara setelah beliau ‘berjasa’ dalam kempen Deklarasi Rakyat?. Hujah mudah yang mengatakan kita perlu yakin dan percaya pada kebijaksanaan pemimpin untuk mencatur tidak boleh diterima sama sekali.

Saya kira pemimpin pembangkang menyedari tanpa Tun Mahathir dan pasukannya, usaha merobah Malaysia tetap boleh berjalan. Pembangkang di Malaysia sudah berada pada tahap yang amat baik dakan tiga pilihanraya umum sebelum ini. Ini
semua dicapai hasil kerja kuat pembangkang yang berpadu dan bersepakat.

Warkah ini tepat pada masanya. Saya kira pembangkang sudah boleh meletakkan noktah pada kempen Deklarasi Rakyat dan kembali menyemarakkan pentas Muafakat Selamatkan Malaysia. Saya yakin inilah semangat yang ditampilkan dalam keseluruhan isi warkah Anwar dari penjara.


NOTA Syukri Razab adalah setiausaha pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pernah
menjadi pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) 2011-2012.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-