Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, June 17, 2016

1MDB lantik Weil Gotshal lawan IPIC, Aabar

1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah melantik firma undang-undang antarabangsa, Weil Gotshal & Manges (Weil Gotshal) bagi mewakilinya dalam permintaan timbang tara (RFA) oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (Aabar).

Pelantikan itu sejajar dengan penerimaan RFA itu dari Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London bertarikh 13 Jun 2016.

"Weil Gotshal terkenal di seluruh dunia, firma guaman bertaraf paling tinggi dengan kepakaran, antara lainnya, dalam tindakan undang-undang antarabangsa," kata 1MDB dalam kenyataanya, hari ini.

Susulan pelantikan tersebut, 1MDB akan menfailkan maklum balas yang kukuh kepada RFA, pada atau sebelum tarikh akhir 11 Julai 2016, seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

IPIC dan anak syarikatnya, Aabar mengemukakan RFA berhubung tuntutannya melibatkan lebih AS$6.5 bilion daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF).

"RFA prihatin terhadap kegagalan 1MDB dan MOF untuk menjalankan obligasi kontrak di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS) seperti yang dinyatakan dalam pengumuman IPIC GMTN Limited pada 10 Jun 015 (RNS Nombor 7064P)," kata IPIC dalam kenyataan kepada Bursa Saham London.

IPIC menyatakan bahawa kegagalan 1MDB dan MOF dalam menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima telah menyebabkan IPIC tiada pilihan alternatif selain meneruskan tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

"Tuntutan itu akan ditentukan oleh tribunal timbang tara yang akan terdiri daripada tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan LCIA ," kata IPIC dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, 1MDB berkata, dengan diwakili oleh firma Weil Gotshal, pihaknya yakin dengan kedudukan perundangannya.