Thursday, June 30, 2016

'Dulu LGE minta orang lain bercuti, sekarang?'

MCA mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bahawa rakyat sedang memerhati sama ada beliau cakap serupa bikin dengan bercuti sementara menunggu kes pendakwaan rasuah terhadapnya selesai.

“Sebelum ini, dia minta orang lain letak jawatan dan bercuti.

"Sekarang giliran kamu, rakyat akan lihat apa dia mahu buat,” kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga menteri pengangkutan.

Liow berkata ketika selepas pelancaran jajaran LRT Kelana Jaya dan Ampang di Putra Heights, Puchong hari ini.

Ditanya lagi sama ada Lim patut bercuti, Liow berkata:

“Saya serah pada dia. Kerana rakyat memerhati.

“Dia patut ada kebijaksanaan itu.”

Liow sebelum itu mengingatkan Malaysiakini supaya tidak memutar belit kenyataannya.

Beliau juga berkata Malaysia mengamalkan sistem perundangan yang baik.

“Kita semua tahu kita sebuah negara demokratik. Proses pendakwaan telus.

“Biar dia jawab di mahkamah,” katanya merujuk dakwaan tuduhan terhadap Lim bermotif politik.

Lim yang juga setiausaha agung DAP hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi George Town atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama Lim, sebagai penjawat awam Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri dan isteri, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Dia didakwa bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim juga didakwa mendapatkan lot tanah dan rumah di George Town daripada ahli perniagaan Phang Li Koon bawah harga pasaran ketika mengetahui Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Bagi pertuduhan itu Lim didakwa bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-