Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, June 17, 2016

GST: Pertama kali dalam sejarah Malaysia orang miskin kena cukai

 oleh Fatih Hassan Nordin
SUNGAI BESAR, 16 JUN: Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi cukai pertama yang dikenakan terhadap golongan miskin sejak Merdeka 57 tahun yang lalu.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak, kerajaan UMNO-BN telah melaksanakan pelbagai dasar yang menyusahkan rakyat, termasuklah pelaksanaan GST.

“Selepas zaman Jepun, saya rasa inilah zaman paling susah bagi rakyat.

“Di bawah (pentadbiran) Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia orang miskin kena cukai.

“Cukai itu bukan cukai pendapatan, cukai itu namanya GST,” katanya dalam siri ceramah Pakatan Harapan di sini, semalam.

Malah, bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO itu turut menyifatkan alasan yang diguna pakai kerajaan UMNO-BN untuk mempertahankan cukai berkenaan atas nama kepentingan rakyat, pembangunan infrastruktur dan pendidikan sebagai alasan yang dangkal.

Beliau mendakwa bahawa GST yang dikutip daripada rakyat sebenarnya adalah untuk menampung hutang berbilion ringgit yang ditanggung syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, 1MDB.

“Antara lain alasan yang diberi (untuk melaksanakan GST) adalah sebab kekurangan dana.

“Memanglah tak cukup dana sebab rasuah, ketirisan, pembaziran yang berlaku dalam pentadbiran negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menempelak saranan kerajaan supaya rakyat mengamalkan budaya berjimat cermat, sedangkan kerajaan terus melakukan pembaziran dana awam.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menggesa supaya pengundi memilih calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili Pakatan Harapan pada 18 Jun nanti sebagai referendum penolakan yang jelas terhadap kepimpinan Najib.
– Roketkini.com