Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, June 26, 2016

Muhyiddin, Mukhriz, Shafie sia-sia peluang diberi

Muhyiddin, Shafie and Mukhriz
SEREMBAN - Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mensia-siakan peluang diberikan Umno untuk mereka kembali ke pangkal jalan, menjadi punca pemecatan dan penggantungan keanggotaan mereka pada Jumaat lepas.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti mesti mengambil tindakan drastik kerana tidak mahu isu itu memecahbelahkan anggotanya.

"Sepatutnya lama dah kita (Umno) ambil tindakan tetapi kita bagi peluang dan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dah hulurkan tangan pada perhimpunan agung parti yang lepas untuk berbaik-baik semula, tetapi tangan yang dihulur tidak diterima dan saranan daripada parti untuk melihat kepimpinan bersatu semula pun tidak diendahkan

"Jadi jangan salahkan pucuk pimpinan terutama MT untuk membuat keputusan sebulat suara yang memecat kedua-dua tokoh tersebut dan menggantung keahlian Shafie," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepada anak yatim, warga emas dan penduduk kurang kemampuan Kampung Siliau Baru di Rantau dekat sini hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata sebagai ahli Umno dan pernah memegang jawatan tinggi dalam parti, ketiga-tiga mereka sepatutnya lebih faham akan peraturan parti.

"Adalah satu perkara yang amat tidak patut, yang amat tidak boleh diterima oleh parti kerana ahli parti duduk bersama-sama ahli pembangkang di atas satu platform yang sama untuk menjatuhkan parti dan kepimpinan parti seterusnya menjatuhkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berpandangan isu pemecatan kedua-duanya harus dilakukan lebih awal ekoran pembabitan mereka di pentas pembangkang bertujuan menjatuhkan presiden parti.

"Dalam parti mana sekali pun bila ada pemimpin bersama dengan parti pembangkang secara terbuka pula mengkritik kerajaan ini satu perbuatan yang salah' katanya.

Mohd Isa berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis berbuka puasa rakyat kawasan Parlimen Jempol bersama-sama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Masjid Jamek Batu Kikir, Jempol semalam.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu menyokong penuh keputusan MT memecat Muhyiddin dan Mukhriz atas kesalahan disiplin serta penggantungan keanggotaan Mohd Shafie.

Ketuanya Mohd Bahrin Abd Karim berkata, keputusan MT Umno itu amat wajar demi menjaga keutuhan parti.

"Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu yakin tindakan disiplin termasuk memecat dan menggantung keahlian ahli Umno yang melanggar disiplin parti amat tepat dan wajar supaya Umno terus teguh”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa pergerakan itu bersama pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah Masjid Bandaran Kota Kinabalu dan orang kurang upaya di sini semalam.

Mohd Bahrin berkata, sekiranya tindakan tegas tidak diambil terhadap ahli Umno yang melanggar disiplin dan mensabotaj parti, ia akan melemahkan Umno yang merupakan tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) pusat dan negeri. 
– Bernama