Saturday, June 25, 2016

Najib, jangan terlalu angkuh - Khairuddin

Nawar Firdaws
June 24, 2016

Pendebat Syed Saddiq berkata perjuangan membetulkan sistem reput mungkin mengambil masa lebih 10 tahun, tetapi Selamatkan Malaysia pasti selesaikannya
KUALA LUMPUR:  Jangan angkuh, pesan bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan berkata demikian mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat Timbalan Presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Saya mahu berterima kasih kerana memecat dua pemimpin ini kerana ia akan menyuntik semangat baru dalam gerakan kita (mendesak perdana menteri meletak jawatan),” kata Khairuddin dalam satu kenyataan malam tadi.

“Najib, jangan terlalu angkuh. Jika pimpinan Umno kata parti sudah kuat, insyaAllah, kita akan jadikan Pilihan Raya Umum ke-14 kayu ukur kekuatan itu.”

Najib yang juga presiden parti mengumumkan Muhyiddin dan Mukhriz dipecat berkuat kuasa serta-merta lantaran kerjasama mereka dengan pembangkang dan kritikan bertali arus terhadap parti.

Seorang lagi pemimpin pemberontak Umno, Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung sehingga jawatankuasa displin selesaikan siasatan terhadapnya.

Khairuddin percaya Shafie juga akan dipecat, langkah yang beliau alu-alukan.

“Lebih ramai pimpinan Umno – yang hanya mahu mendukung kebenaran berdasarkan kepada ajaran sebenar Islam – mereka pecat, kita semakin kuat.

“Kepimpinan MT Umno sekarang ini, termasuklah ketua-ketua bahagian tidak lagi berpegang kepada prinsip agama.”

“Mereka sanggup bersekongkol dan menyokong rasuah dan penyelewengan demi jawatan, poket dan perut.”

Sementara itu, pendebat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju dan memberitahu FMT Umno tidak lagi punyai prinsip kerana sanggup mempertahankan perasuah dengan apa cara sekalipun.

“Mereka sanggup pijak mereka yang membina parti itu. Kurang ajar menggambarkan tindakan mereka.”

Beliau menambah halangan ini tidak akan mementukan pengakhiran gerakan Selamatkan Malaysia kerana ahli-ahlinya akan terus berjuang untuk negara ini sehingga ia dibebaskan daripada cengkaman golongan perasuah.

“Perubahan memakan masa. Mungkin ambil masa lebih 10 tahun untuk betulkan sistem reput ini. Tetapi kita akan selesaikannya.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-