Sunday, June 26, 2016

PAS Kedah perlu buka kitab lama sebelum kritik UMNO

Sesedap mulut saja Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi mengkritik Kerajaan BN Negeri Kedah yang kononnya menjadikan rakyat negeri itu sebagai mangsa keadaan ekoran keadaan politik dalaman parti yang ‘porak peranda’.

Diungkitnya tentang Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, enam projek mega, Maahad Mahmud, Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Maahad Tahfiz Sains Darul Aman, kenaikan cukai tanah, caj-caj perbandaran, pengambilan tanah dengan harga tidak kompetitif, isu perkhidmatan bekalan air SADA, pembangunan perumahan mampu milik tidak rancak dan sebagainya.

Suka penulis ingatkan kepada Fakhruddin bahawa semua yang disebut itu majoritinya berlaku ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar. Jika ‘lembab’, maka sila tuding jari pada anak Mahathir itu. Khabarnya dia menjadi ‘kesayangan’ orang Kedah…

Seperti PAS, UMNO juga tidak terlepas dari mempunyai masalah dalaman sendiri. Jika PAS melalui detik itu ketika Muktamar PAS yang berlangsung di Johor, UMNO pula sedang mengalaminya sekarang. Jika PAS ada ‘jebon’ dan ‘syaitan dalam jemaah’, UMNO pula ada ‘jemuan’.

Jadi, pemecatan Mukhriz itu hanyalah sebahagian dari proses pemutihan dalam parti dari gejala negatif semberono yang berpaksikan kepentingan peribadi mahu jadi Presiden secara ‘ekspress’. Perkara yang sama juga berlaku dalam PAS hingga parti itu hampir hancur, bukan?

Fakhruddin ingat pada nama besar PAS seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Ahmad Awang dan diperingkat negeri Kedah, Dato’ Phahrolrazi Zawawi? Kenal mereka? Tahu warna baju mereka sekarang? Hijau atau oren?

Apakah selaku Pesuruhjaya PAS Kedah, maka Fakhruddin lupa pada sejarah PAS di Kedah? Apa yang berlaku selama 5 tahun ketika PAS ditadbir Allahyarham Tan Sri Azizan Razak dulu? Siapa yang porak peranda ketika itu?

Siapa yang berdemo di depan Wisma Darul Aman mengecam Kedah Civil Servant (KCS) dan mengeruhkan hubungan Azizan dengan pentadbir-pentadbir negeri itu? Mujurlah arwah bijak dan tidak terikut-ikut dengan huru-hara yang sengaja ditimbulkan?

Siapa dalang huru-hara tersebut? Tidak perlu jawab secara terbuka. Penulis yakin Fakhruddin tahu. Jika tidak tahu, tanya Adun-Adun PAS dulu.

Fakhruddin selak kembali sejarah PAS memerintah Kedah hingga tanah hutan simpan negeri tergadai dengan aksi ‘cuci mangkuk’ mencarah balak. Mana dusun buah-buahan yang dijanjikan? Habis air gunung tercemar, tapi apa hasilnya untuk rakyat di Baling dan Pedu?

Fakhruddin kenal siapa yang menghina arwah Ustaz Azizan dengan ungkapan ‘enjin tiga silinder’? Siapa yang cuba jatuhkan arwah ketika itu? Siapa yang khabarnya terpaksa ‘diculik’ seketika untuk mententeramkan keadaan yang kian meruncing?

Jika disebut ‘porak peranda’, Fakhruddin rasanya perlu selak ‘kitab lama’ PAS selama 5 tahun itu. Siapa yang ‘porak peranda’ sebenarnya? Porak peranda PAS Pusat hingga kini masih belum selesai. Fakhruddin fikir porak peranda PAS Kedah sudah reda?

Apakah Fakhruddin kenal siapa di kalangan pemimpin dan aktivis PAS di Kedah yang dikesan sebagai golongan ‘harum manis’? Hingga ada yang mendakwa wujud ‘Husam II’ di Kedah, apakah Fakhruddin sedar dan ambil tahu siapa yang dimaksudkan itu?

Sepatutnya Fakhruddin bimbang, ambil berat dan bertindak terhadap masalah dalaman PAS di Kedah yang bagaikan ‘gunung berapi yang menunggu masa untuk meletus’. Jangan sampai kelam-kabut PAS Kedah dihuru-harakan menjelang PRU ke-14 nanti.

Tentang UMNO, usahlah Fakruddin gusar. Sehingga kini, tiada lagi rakyat Kedah yang menjadi mangsa akibat masalah dalaman UMNO. Bahkan, rakyat Kedah kini sedang bersyukur pada Allah dan berterima kasih pada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dengan kesungguhan beliau berbakti mementingkan kebajikan rakyat di sana.

Harap cermin dulu diri sendiri sebelum memperkatakan porak peranda UMNO kerana parti kami tidaklah seteruk PAS yang hampir hancur dijadikan ‘tunggangan’ DAP, PKR, PAN dan ‘harum manis’. Bermuhasabah dan cubalah jadi Pesuruhjaya PAS Kedah yang berwibawa seperti arwah Ustaz Azizan, tidak seperti Mahfuz. Harap maklum.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-