Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Wednesday, June 22, 2016

'PAS tak mungkin semeja lagi dengan DAP, AMANAH'

Bernama
PAS tidak mungkin akan kembali duduk semeja dan mengadakan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pakatan Harapan kerana sudah serik dengan pengalaman lalu.

Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata setakat ini parti itu berpendirian untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan AMAnAH kerana sedang memberi tumpuan untuk memperkasakan blok ketiga pembangkang.

"Kita sudah bekerjasama dengan DAP dan kita ada pengalaman dengannya. Jadi mungkin sukar untuk kita ulangi kerjasama itu. Pendirian kami setakat ini, kami tak kan bincang dengan AMANAH dan DAP.

"Dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat) setakat ini kita masih ada hubungan, masih tidak putus.

"Kita dalam usaha untuk mengukuhkan blok ketiga (dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia). Cuma mungkin ambil masa sedikit," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di Kota Bharu malam tadi.

Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor agar PAS kembali bersatu sebagai satu pasukan di bawah Pakatan Harapan bagi menghadapi BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar meminta kerajaan persekutuan agar memainkan peranan dalam menjelaskan mengenai Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Rang Undang-undang itu dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lepas.

"Dalam tempoh empat bulan ini (sebelum Dewan Rakyat kembali bersidang pada Oktober), kita minta supaya kerajaan persekutuan menggunakan kuasa yang ada padanya temasuk media massa untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang apa yang diusahakan ini.

"Kalau kerajaan persekutuan memainkan peranannya dengan sistematik dan bersungguh-sungguh, saya rasa mungkin lepas empat bulan ini semua orang akan sokong rang undang-undang ini, tak ada yang akan lawan," katanya.

- Bernama