Wednesday, June 8, 2016

PAS Tidak Boleh Dipercayai Sebab Itu PH Letak Calon 2 PRK - Rafizi

 AIDCNEWS

SHAH ALAM: PAS akan menyokong Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu menang di kedua-dua kerusi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar jika beberapa syarat diletak oleh parti Islam berkenaan diterima oleh Umno-BN.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli bagaimanapun tidak menyatakan apakah syarat-syarat berkenaan ketika membuat dakwaan itu dalam video disiarkan dalam Facebook Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah.

“Kebelakangan ini kita lihat PAS mengalami kemerosotan sokongan daripada pengundi bukan Melayu yang mendadak dan dilihat sebagai tidak mampu untuk mewakili semua rakyat Malaysia.

“Sebab itu kemenangan PAS dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini jika berlaku akan menambahkan ketidak tentuan politik negara kerana kita tidak pasti sama ada bila tiba masanya PAS akan memutuskan untuk menyokong BN kekal sebagai Kerajaan Persekutuan sekiranya beberapa syarat yang ditetapkan oleh PAS dipenuhi oleh BN,” katanya dalam video selama tiga minit itu.

Dalam video bertajuk “Mengapa Pakatan Harapan bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar”, Rafizi turut berkata PH bertindak bertanding di kedua-dua PRK memandangkan PAS tidak akan membawa apa-apa perubahan sekiranya berjaya merampas kerusi-kerusi berkenaan daripada BN.

“PRK kali ini sebenarnya adalah pertembungan antara Barisan Nasional (BN) sebagai Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang persekutuan kerana hanya PH yang boleh menggantikan BN sebagai Kerajaan Persekutuan.

“Kemenangan parti-parti pembangkang yang lain seperti PAS tidak akan mengubah keadaan. Kerana mustahil PAS boleh memenangi cukup kerusi Parlimen untuk menewaskan BN,” tambahnya.

Justeru, katanya, hanya PH yang mampu untuk membentuk kerajaan selepas menewaskan Umno-BN kerana gabungan itu terdiri daripada pelbagai parti termasuk PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), manakala PAS membentuk blok ketiga dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

“Oleh itu Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan bahawa PH mesti turut serta dalam PRK kali ini kerana hanya melalui PH rakyat berpeluang untuk tukar Kerajaan Persekutuan.

“Setelah kita teliti pelbagai faktor Majlis Presiden PH juga memutuskan parti yang terbaik untuk mewakili PH dalam PRK ini adalah Amanah (PAN),” katanya.

PH pantas meletakkan calon daripada PAN bagi mewakili PH apabila PAS bertindak nekad meletakkan calon mereka di Sungai Besar dan Kuala Kangsar – AP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-