Thursday, June 2, 2016

Penduduk hanya dikompaun jika masih abaikan amaran

Kira-kira 380,000 premis telah dipantau dan sebanyak 85,239 surat peringatan dikeluarkan pihak SWCorp sejak September 2015.
KUALA LUMPUR: Kompaun di bawah Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang berkuat kuasa di tujuh negeri mulai semalam hanya dikenakan selepas penduduk mengabaikan amaran pengasingan sisa pepejal.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr Mohd Pauze Mohamad Taha berkata, penguatkuasaan itu hanya akan dikeluarkan di peringkat akhir bagi memastikan masyarakat mematuhi amaran pengasingan sisa pepejal tersebut.

“Kompaun akan dikeluarkan setelah masyarakat masih gagal melaksanakan program kitar semula ini. Kita bukan mahu mengenakan penalti, tetapi ia hanya menunjukkan keseriusan kita bagi memastikan masyarakat mengamalkan kitar semula ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara Bernama News Channel yang bertajuk “Membudayakan Amalan Kitar Semula” bersama Pengarah Bahagian Dasar Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Dr Muharir Kamarudin dan dihoskan Datuk Dahlan Maamor.

Mohd Pauze berkata, kira-kira 380,000 premis telah dipantau dan sebanyak 85,239 surat peringatan dikeluarkan pihak SWCorp sejak September tahun lepas.

“Daripada pemantauan yang dilakukan, peratusan kesedaran mengenai pengasingan sisa pepejal masih rendah, namun ia menunjukkan peningkatan dari bulan ke bulan sejak September lepas,” katanya.

Sementara itu, Dr Muharir berkata, penguatkuasaan perlu dilakukan bagi memberi kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai persekitaran yang perlu dijaga untuk generasi akan datang.

Katanya, semua pihak harus memainkan peranan dalam mengurangkan penghasilan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah bagi membantu kerajaan mengurangkan kos operasi di tapak berkenaan serta memanjangkan tempoh hayat tempat pelupusan sampah itu.

Berikutan penguatkuasaan akta tersebut, denda maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan kepada mereka yang melanggar undang-undang itu.

Penyewa atau pemilik premis bertanah juga boleh didenda RM50 bagi kesalahan pertama, RM100 (kesalahan kedua) dan RM500 (kesalahan ketiga), manakala bagi premis bertingkat, denda dikenakan masing-masing RM100, RM200 dan RM500.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-