Thursday, June 16, 2016

'PKR, DAP, PAS perlu kembalikan ke meja rundingan

Faiz Zainudin
June 16, 2016

PAS kini keseorangan dan bersekutu dengan parti Ikatan yang tak teruji, masih baru dan tidak ada kekuatan di Parlimen.
KUALA LUMPUR: PKR dan DAP perlu membuang ego dan kembali berunding dengan PAS bagi membentuk gabungan baharu sepertimana Pakatan Rakyat, sekiranya mereka mahu menguburkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, menurut seorang pemerhati politik.

“PKR dan DAP perlu melakukan rundingan dari hati ke hati dan sanggup berkompromi dengan PAS sekiranya tak mahu perkara ini berlaku (BN kekal memerintah).

“DAP perlu melenturkan sikap yang dilihat PAS sebagai agak keterlaluan untuk PAS terus menjalinkan hubungan dengan DAP,” kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Beliau berkata, keterbukaan PAS untuk bekerjasama dengan Umno adalah disebabkan mereka mahukan parti Melayu itu menyokong perlaksanaan undang-undang hudud yang ingin dibawa parti itu kerana menyedari mereka tidak mempunyai kekuatan di Parlimen.

“PAS kini keseorangan dan bersekutu dengan parti Ikatan yang tak teruji, masih baru dan tidak ada kekuatan politik dari segi keahlian Parlimen.

“Bagi Umno pula kerjasama dengan PAS merupakan langkah terbaik menghalang Pakatan Harapan menjadi kuat dan berjaya memenangi PRU akan datang,” kata pensyarah kanan Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM) itu.

Beliau turut berkata PAS masih mampu mentadbir Kelantan walaupun bukan sebahagian gabungan pembangkang atau kerjasama rasmi dengan Umno.

Menurutnya, parti Islam itu bergerak secara bersendirian di bawah kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1990 dengan bermodalkan dana yang agak terhad.

“Sebenarnya PAS masih dapat mentadbir Kelantan dengan dengan baik tanpa sokongan Umno,” katanya kepada FMT.

Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM400 juta kepada Kelantan, antara negeri tertinggi menerima dana persekutuan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata tidak akan menggunakan teknik menyerang UMNO dan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana ia tidak mampu menarik pengundi Melayu menyokong parti Islam itu.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui partinya giat mendekati Umno atas dasar kepentingan Islam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-