Saturday, June 4, 2016

PRK jadi tempat PAS dan AMANAH 'menguji' sokongan


Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini dilihat lebih kepada pertembungan antara PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam 'menguji' sokongan pengundi terhadap mereka, kata pemerhati politik.

Dan menurut pemerhati politik, pertelagahan PAS dan AMANAH itu akan menyebabkan berlakunya perpecahan undi dalam kalangan penyokong parti pembangkang.

"Tidak saya nafikan calon AMANAH dan PAS cukup berwibawa namun ia bukan halangan besar kepada calon BN di Kuala Kangsar berdasarkan kepada rekod baik BN di kawasan itu," kata penganalisis politik Prof Madya Dr Jeniri Amir ketika dihubungi Bernama.

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

BN, PAS dan AMANAH telah mengumumkan calon mereka bagi PRK Kuala Kangsar.

BN menamakan Datin Mastura Mohd Yazid, isteri Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar sebagai calonnya.

Manakala PAS pula menamakan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad dan AMANAH mencalonkan bekas profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ahmad Termizi Ramli.

Selain itu, anggota Pemuda Umno, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail turut mengumumkam di media sosial akan bertanding sebagai calon Bebas.

Kerusi yang secara tradisinya menjadi pertembungan Umno (yang mewakili BN) dan PAS itu, menurut penganalis politik, kini pastinya lebih menarik menerusi penyertaan AMANAH - parti serpihan PAS.

Kempen PRK itu juga dijangka bakal menyaksikan Umno dan PAS lebih 'saling hormat menghormati' dan matang dalam kempen politik mereka berikutan senario politik serta 'hubungan baik' kedua-dua parti itu.

"Biasanya peluru (kempen) PAS dituju kepada BN, tetapi kali ini saya nampak ia (kempen dan percakaran) lebih kepada PAS dan AMANAH dan ini memberi kelebihan kepada BN," kata Dr Jeniri, yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata pertelagahan PAS dan AMANAH akan menyebabkan berlakunya perpecahan undi dalam kalangan penyokong parti pembangkang.

"Saya menjangkakan undi penyokong parti pembangkang akan pecah dua, dan pastinya memberi kelebihan kepada BN," katanya kepada Bernama.

"Perbalahan antara PAS dan AMANAH pasti membuat ramai penyokong pembangkang kecewa dan tidak mustahil mereka juga boleh berpaling arah kepada BN," katanya.

Ketika mengumunkan calon daripada AMANAH, Presidennya Mohamad Sabu berkata PRK kali ini adalah penentu kepada nasib parti itu yang pertama kali meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya di Semenanjung sejak AMANAH ditubuhkan pada 16 September 2015.

Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sebelum ini lantang mengkritik Umno di pentas politik, sebaliknya bertindak menyerang PAS, yang kini menjadi pesaing politik mereka, ketika berucap di majlis pengumuman calon AMANAH itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 Allahyarham Wan Mohammad Khair-il menang dengan majoriti 1,082 undi.

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya sehingga 7 Mei lepas.

-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-