Thursday, June 9, 2016

Realitinya PAS berdepan BN, DAP di Sungai Besar

HARAKAHDAILY | 09 Jun 2016.


KUALA LUMPUR: "Secara realitinya PAS berdepan dengan BN dan DAP pada Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar," tegas Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Ini, ujarnya kerana pada pemerhatian beliau, strategi dan kerja-kerja yang melibatkan calon PAN diatur dan dilakukan oleh DAP.

"Berdasarkan laporan dari lapangan dan pemerhatian saya, strategi dan kerja-kerja untuk calon PAN dibuat oleh DAP.

"Jadi secara realitinya pertandingan tiga penjuru pada PRK Sungai Besar, PAS berdepan dengan BN dan DAP," ujarnya kepada Harakahdaily, pagi ini.

Menurutnya lagi, pemerhatian beliau juga mendapati DAP membuat arahan secara senyap dan mengatur gerak kerja secara bersungguh-sungguh.

"DAP bersungguh-sungguh dalam PRK ini, buat arahan secara senyap kepada seluruh jenteranya, seolah-olah dia (DAP) yang bertanding di Sungai Besar, PRK ini juga maruah dia," katanya.

Justeru, beliau menyifatkan calon yang dikemukakan PAN adalah 'pinjaman' DAP yang bukan dari kalangan parti itu.

Beliau juga difahamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka akan turun untuk berkempen pada PRK Sungai Besar diatur oleh DAP.

"Macam mana pun bagi PAS itu bukan perkara besar, PAS tak kisah kerana secara tradisi kita berdepan, lawan BN.

"Tapi secara realitinya pada PRK Sungai Besar ini, PAS berdepan dengan BN dan DAP," ujarnya lagi.

Pada PRK Parlimen Sungai Besar ini, calon PAS, Dr Abdul Rani Osman ditentang calon BN Budiman Mohd Zohdi dan Azhar Abdul Shukur (PAN).

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong kerana penyandang, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

SPR telah menetapkan hari mengundi PRK Sungai Besar pada 18 Jun ini.

 - HARAKAHDAILY
    9/6/2016

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-