Friday, June 24, 2016

Tangkap pegawai SPRM beri maklumat kepada Rafizi

FMT Reporters
June 24, 2016

Kenyataan Rafizi mengesahkan ada kebocoran maklumat daripada suruhanjaya itu, kata Vell Paari
PETALING JAYA: Seorang pemimpin MIC hari ini menggesa polis menyiasat dan menangkap pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mendedahkan maklumat dalaman kepada Rafizi Ramli.

Bendahari Agung MIC S Vell Paari berkata kenyataan Setiausaha Agung PKR itu mengesahkan kebocoran maklumat berlaku.

“Saya minta polis supaya menyiasat dan menangkap pegawai-pegawai kanan yang mendedahkan hal dalaman SPRM kepada pembangkang untuk kepentingan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seruan itu menjawab dakwaan Rafizi bahawa seorang pegawai kanan SPRM memaklumkan kepadanya bahawa Ketua Pesuruhjaya Datuk Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Mohd Shukri Abdull dipaksa meletak jawatan.

“Ini menunjukkan pembangkang mungkin mencampuri penyiasatan SPRM kerana Rafizi sendiri menyatakan bertemu pegawai kanan terbabit dan membincangkan urusan dalaman suruhanjaya,” katanya.

Vell Paari menambah, hubungan rapat Rafizi dan pegawai berkenaan mungkin menjadi sebab siasatan SPRM keatas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak lengkap.

Kertas siasatan SPRM diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada 26 Mei, tetapi diserahkan semula kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

“Mungkin ini memberikan masa kepada pembangkang untuk menyembunyikan maklumat penting,” dakwa pemimpin MIC itu.

Semalam, Abu Kassim berkata perletakan jawatannya dibuat secara rela hati, manakala Shukri pula bersara wajib.

Rafizi, dalam satu kenyataan semalam mendakwa “orang luar” akan menggantikan mengisi dua kekosongan itu dan menggesa wakil rakyat pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah untuk meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan.

Mereka adalah Dr. Tan Seng Giaw (DAP), Datuk Fauzi Abd Rahman (PKR) dan Dato’ Takiyuddin bin Hassan (PAS).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-