Monday, June 27, 2016

Tindakan MT tak adil, kata Muhyiddin

ASYRAF MUHAMMAD
26 JUN 2016





Muhyiddin ketika sidang media yang berlangsung hari ini. –Foto Sinar Online
DAMANSARA - Tindakan Majlis Tertinggi Umno (MT) membuat keputusan untuk memecat bekas Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tanpa melalui proses keadilan seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Menurut Muhyiddin, untuk berlaku adil, MT Umno sewajarnya memberikan surat tunjuk sebab terlebih dahulu bagi membolehkan beliau dan Mukhriz menerangkan sebarang asas berhubung tindakan mereka sebelum ini.

"Itu (keputusan) dibuat dengan kehendak mereka sendiri tanpa beri ruang kepada kami untuk beri sebarang penjelasan,"katanya dalam sidang media yang berlangsung di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang rayuan berhubung pemecatannya dari Umno.

Beliau berkata, negara sedang berhadapan dengan satu keadaan yang agak membimbangkan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berdepan dengan pelbagai skandal moral serta kewangan.

"Bagi saya, sebahagian besar rakyat marah dan tak puas hati dengan apa yang berlaku dan mereka mengharapkan satu platform politik baru untuk wujud bagi memberi pilihan supaya masa depan negara terus terpelihara dan sebagainya," katanya.

Untuk tujuan itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai satu pendekatan yang lestari untuk jangka masa hadapan.

"Kita perlu adakan perbincangan di antara kita serta mereka yang mempunyai pandangan sama dgn kita bagi membincangkan apakah tindakan sewajarnya untuk kami ambil bahi menghadapi masa depan negara selepas ini," katanya.

Kelmarin, MT memutuskan agar Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta.

Sementara, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal pula digantung dari jawatannya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-