Monday, July 25, 2016

Analisis menunjukkan 1MDB betul dengan menyatakan tiada wang hilang setakat ini

NASIONAL
DI KUALA LUMPUR
1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak boleh berkata atau mendakwa wang yang dipindahkan daripada Aabar Investment PJS Ltd atau Aabar BVI kepada usahawan Pulau Pinang, Jho Low, syarikat penerbitan Red Granite Pictures dan Khadem Abdullah al-Qubaisi, adalah miliknya.

Khadem ialah Pengerusi Aabar Investment PJS Ltd.

Dengan menganalisis dakwaan terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang berbilion dicuri daripada dana negara, penulis blog Lim Sian See berkata dalam blognya, Laporan LSS: "Jika wang dari sini dicuri, ia dicuri daripada International Petroleum Investment Co (IPIC) dan bukannya 1MDB.

"Apabila 1MDB menandatangani perjanjian usaha sama dengan Aabar Investments PJS di Abu Dhabi, perbincangan itu adalah dengan Khadem sebagai pengerusi yang sah dan Pengarah Urusan Mohamed Badawy Al-Husseiny."

DOJ baru-baru ini memfailkan saman sivil untuk mendapatkan kembali aset daripada dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

Lim juga berkata, bagi 1MDB, Aabar BVI adalah sah dan dimiliki International Petroleum Investment Co (IPIC).

"Untuk 1MDB mendakwa yang wang itu kepunyaan mereka akan bermakna semua kes arbitrasi London di antara IPIC dan ia akan musnah.

"1MDB akan kehilangan berbilion dolar manakala IPIC Abu Dhabi akan terlepas tanpa sebarang tuduhan.

"Ini berlaku walaupun kedua-dua eksekutif paling kanan IPIC, iaitu bekas Pengarah Urusan, Khadem daripada 2007 hingga 2015 dan Pengarah Urusan Aabar PJS, Mohamed Badawy dinamakan sebagai sebahagian daripada kes DOJ dan rampasan aset berkenaan," tambahnya.

Menurutnya, apa yang 1MDB perlu memberi tumpuan sekarang ialah memenangi kes arbitrasinya dengan membuktikan yang dua eksekutif kanan Aabar dan IPIC telah bertindak dengan kuasa penuh lembaga dan semua semakan telah menunjukkan Aabar-BVI secara sah dimiliki kedua-dua entiti berkenaan.

"1MDB percaya ia mempunyai bukti yang cukup untuk memenangi kes tersebut. Ia secara sengaja enggan menjelaskan pembayaran faedah yang dijadualkan ke atas bon, walaupun mempunyai RM3 bilion dalam bank ketika itu dan membenarkan dua bon 1MDB yang dijamin IPIC untuk mungkir, dengan itu mencetuskan jaminan daripada IPIC dan memaksanya untuk menjelaskannya," kata Lim.

Beliau berkata, jika 1MDB memenangi kes ini, US$4.5 bilion dalam aset boleh didapatkan kembali daripada IPIC.

"Jika keadaan ini terjadi, IPIC mungkin akan mengambil alih bon US$3.5 bilion dan membenarkan 1MDB menyimpan US$1 bilion yang telah dibayarnya sebelum ini.

"IPIC kemudian akan menjadi pihak yang bertanggungjawab untuk menuntut kembali aset US$4.5 dalam Aabar-BVI," katanya.

Mengenai persoalan mengenai berapa banyak wang rakyat yang telah hilang setakat ini disebabkan saman sivil DOJ, beliau berkata, setakat ini tidak ada.

"Disebabkan jumlah yang didakwa dicuri adalah daripada pinjaman yang 1MDB ambil, tidak ada wang rakyat Malaysia telah hilang.

"Ini dengan mengandaikan pertikaian IPIC boleh diselesaikan dengan memihak 1MDB dan bon US$1.5 bilion Global Investment Limited (GIL) diperoleh kembali," kata Lim.

Menurut Lim, adalah penting untuk mengetahui yang selain daripada bon US$3.5 bilion bon yang menjadi pertikaian dengan IPIC, 1MDB tidak memungkiri sebarang pinjaman atau bon.

"Malah, banyak pinjaman telah dibayar atau diselesaikan sepenuhnya," tambah beliau.

Lim berkata, jika 1MDM mampu memenangi arbitrasi IPIC dan mendapat kembali dana GIL US$1.5 bilion, ia boleh menyatakan yang tidak ada wangnya hilang atau dicuri.

"Ini bermakna adalah mustahil untuk Jho Low, Red Granite, Khadem atau sesiapa sahaja untuk mencuri wang daripada 1MDB untuk membeli atau melabur dalam semua aset yang Biro Penyiasatan Persekutuan kini mahu merampasnya," tambah beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-