Saturday, July 30, 2016

Guan Eng umum YB Chow bakal Ketua Menteri Pulau Pinang

 AIDCNEWS
AIDCNews – 30/7/16 –Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata apa-apa yang bakal terjadi ke atas dirinya, Pengerusi DAP Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow merupakan calon terbaik bagi menggantikannya.

YB Chow merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Kerajaan Negeri Pulau Pinang, namun beliau bukanlah salah seorang daripada dua orang Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dua Timbalan Ketua Menteri itu ialah Rashid Hasnor (ADUN PKR Pantai Jerejak), Timbalan Ketua Menteri 1 yang memegang bidang kuasa Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat Perhubungan dan P Ramasamy (ADUN DAP Perai), Timbalan Ketua Menteri 11, di bawah bidang kuasa Perancang Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi .

Pada 30 Jun lalu, Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran di Mahkamam Tinggi Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pertama Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Guan Eng, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015.

Bagi pertuduhan kedua itu Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu bekas pemilik banglo itu Phang Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-