Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, July 29, 2016

Guru rotan pelajar direman empat hari

Gambar Hiasan.
SUNGAI PETANI - Seorang guru ditahan reman bagi membantu siasatan kes tiga pelajar lelaki cedera dirotan di sebuah maahad tahfiz di sini yang menjadi viral di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Parit Buntar, Perak pada 10.10 malam tadi.

"Lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada dua pelajar terlibat berusia 12 dan 10 tahun, masing-masing berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Seorang lagi mangsa bagaimanapun belum dapat dihubungi, katanya.

Md Zukir berkata siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa dirotan kerana cuba melarikan diri dari maahad tahfiz itu ketika waktu subuh, Isnin lepas.

Beliau berkata suspek yang merupakan guru ganti di maahad tahfiz itu mencari dan menemui pelajar terbabit berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Muda lalu membawa mereka pulang sebelum dirotan di dalam bilik kuliah di hadapan rakan-rakan lain.

"Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan lebam pada badan dan luka di kepala," katanya.

Gambar pelajar dengan kesan rotan di badan dan kepala menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan dipukul seperti penjenayah. 
- Bernama