Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, July 24, 2016

"Kenapa Najib didesak letak jawatan tetapi Guan Eng tak perlu'

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan pembangkang mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti atau meletak jawatan menyerlahkan sikap hipokrit mereka.

Menurut beliau, ini jelas menunjukkan sikap ‘pilih kasih’ apabila desakan seumpamanya tidak dibuat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berdepan dakwaan rasuah.

“Dalam kes Guan Eng, yang jelas kes jenayah mereka pertahankan, tak perlu letak jawatan atau bercuti.

“Tapi dalam kes sivil ini, tidak ada pun dinamakan perdana menteri sebagai defendan, tiba-tiba mereka suruh perdana menteri letak jawatan. Nampak betapa mereka mempolitikkan isu ini dan mereka bercakap tidak konsisten…pilih kasih,” katanya, memetik laporan Umno Online.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, isu itu sengaja digembar-gemburkan bagi menutup kes jenayah yang dilakukan oleh Lim.

Tambah beliau, banyak pihak telah minta Lim berhenti tapi telah dipertahankan oleh semua ahli majlis tertinggi DAP dan juga pemimpin pakatan pembangkang yang lain.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Umno Online melaporkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, isu berkenaan tidak menjejaskan sektor pelaburan dan perdagangan negara.

“Kita tak boleh nak buat andaian. Ini bukan masa kita buat andaian (mengenai impak terhadap 1MDB terhadap pelaburan negara).

“InsyaAllah kita bersama-sama dalam prinsip tanggungjawab bersama bagi memastikan negara Malaysia akan terus ditadbir dan diuruskan dengan sebaik mungkin…maknanya pelaburan dan sebagainya berjalan dengan baik,” ujarnya lagi.