Monday, July 4, 2016

Kes LGE seperti ulang tayang kes Anwar

SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
4 JULAI 2016
Nurul Izzah Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
GEORGETOWN - Pakatan Harapan memberi jaminan tidak akan menganiaya rakyat sekiranya diberi mandat untuk memerintah negara ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pemerintah yang baik tidak sesekali akan menganiaya rakyat seperti mana yang dipraktikkan kerajaan pada masa kini.

Menurutnya, pakatan itu juga tidak akan menggunakan kuasa yang diberikan sewenang-wenangnya sehingga menjurus kepada penyalahgunaan kuasa ke atas rakyat.

"Saya terpanggil untuk menyertai solidariti Ketua Menteri Lim Guan Eng ini kerana ia seperti ulang tayang apa yang berlaku ke atas bapa saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Inilah bukti penyalahgunaan kuasa apabila mereka menahan individu yang bertungkus-lumus membela hak rakyat. Perilaku menyalahgunakan kuasa ini tidak boleh dibiarkan kerana kita sebagai rakyat akan menjadi mangsa, tidak kira siapa anda...dan yang terbaru adalah Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri. Cakap sikit kena tahan, kena dakwa.

"PKR akan menyokong Guan Eng sehingga ke titisan terakhir kerana kita tahu, dia tidak bersalah. Tiada pendakwaan terhadapnya, tetapi disebabkan mereka tidak senang dengan kebaikan yang dibawa olehnya (Guan Eng) maka dia diheret ke mahkamah. Saya kagum dengan kehadiran rakyat yang sama-sama memberi sokongan kepada solidariti ini. Ia bukan sahaja untuk menuntut keadilan untuk Guan Eng sebaliknya sebagai perjuangan reformasi keadilan untuk rakyat," katanya ketika berucap di Sesi Penerangan Ketua Menteri Bersama Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, perjuangan agen reformasi adalah demi pembaharuan badan kehakiman dan polis bagi mewujudkan sebuah negara yang adil selain menyekat kerajaan BN daripada terus merampas hak rakyat.

"Saya jamin, jika diberi mandat untuk memerintah negara, Pakatan Harapan tidak sesekali menganiaya rakyat sepertimana yang berlaku sekarang. Oleh itu, saya mohon agar rakyat menyokong gerakan reformasi demi masa depan negara.

"BN mengamalkan dasar memecah dan mentadbir rakyat mengikut kaum berbanding dengan Pakatan Harapan yang mempunyai prinsip. Pakatan Harapan akan menawan seluruh Malaysia dan menjatuhkan BN mengikut lunas undang-undang untuk menyelamatkan Malaysia demi masa depan negara yang lebih baik," katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 penyokong berkumpul di Dewan Sri Pinang di sini untuk memberi sokongan selain mendengar penerangan dari beberapa pemimpin parti Pakatan Harapan berhubung penahanan Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-