Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, July 30, 2016

Mana ada aset 1MDB di AS, kata Najib

Adam Abu Bakar and Nawar Firdaws

Perdana Menteri turut mempertikaikan publisiti besar-besaran yang diberikan kepada aduan DoJ
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) tidak menamakan 1Malaysia Development (1MDB) secara langsung.

Ini bermakna syarikat milik kerajaan itu tidak terbabit secara langsung dengan saman penyitaan sivil yang dibuat DoJ, dan tidak ada aset-aset milik 1MDB di AS, tambahnya.

“Majlis Tertinggi (MT) Umno ambil maklum hanya mereka yang tertentu yang ternama dalam laporan tersebut telah disebut dalam laporan. Ini bererti bahawa secara langsung 1MDB tidak terlibat dalam laporan tersebut.

“Dalam erti kata lain, tidak ada aset 1MDB di AS,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Najib, yang juga merupakan Presiden Umno menambah, laporan yang diumumkan Peguam Negara AS Loretta Lynch minggu lalu itu berat sebelah kerana ia tidak mengambil kira pandangan kerajaan Malaysia mahupun 1MDB.

“Kita juga telah ambil maklum 1MDB tidak diminta apa-apa maklumat bererti bahawa DoJ tidak merujuk kepada 1MDB, katanya.

“Laporan tidak mengandungi apa-apa pandangan pihak Malaysia, maknanya tidak ada Peguam Negara, cumanya, orang ternama juga tidak ada penjelasan.”

Beliau seterusnya mempersoalkan publisiti yang diberikan kepada aduan yang mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM14.12 bilion) dilesapkan daripada 1MDB.

Katanya, publisiti yang begitu banyak, dengan sidang media dan sebagainya, tidak pernah berlaku sebelum ini kerana lazimnya laporan-laporan seperti itu tidak dibuat secara besar-besaran.

Ketika ditanya adakah beliau merasakan laporan media sekitar 1MDB turut menyumbang kepada aduan DoJ, Najib berkata ia nampak seperti itu.

“Secara luarannya, ia nampak seolah maklumat diperoleh daripada pelbagai sumber. Kita akan pantau prosiding yang akan menyusul.

“Saya tidak boleh kata secara pasti dari mana sumber mereka, yang pasti bukan daripada kerajaan atau Peguam Negara.”

Berkenaan individu yang dirujuk dalam aduan DoJ sebagai “Malaysian Official 1″, Najib berkata perkara itu turut mendapat perhatian MT.

“Kami mempunyai beberapa pendapat mengenai perkara itu, tetapi kami tidak mahu membuat spekulasi secara terbuka. Kami tidak terbabit dengannya.”

Walaupun beliau percaya DoJ sepatutnya berunding dengan 1MDB atau pihak berkuasa 1MDB sebelum membuat pengumuman bersama dengan laporan itu, Najib berkata pihaknya tidak mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap DoJ.

“Mereka yang ternama perlu membersihkan nama mengikut hak dan proses yang boleh dilakukan oleh mereka,” katanya.

Antara individu yang dinamakan DoJ dalam aduan mereka adalah Riza Aziz – anak tiri Najib – dan hartawan Low Taek Jho (Jho Low).