KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkongsi kegembiraan menyambut Syawal dengan memuat naik klip video lagu dan ucapan Hari Raya Aidilfitri yang dirakamkan di kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana, Putrajaya.

Dalam klip video yang disiarkan di laman sosial Facebooknya, perdana menteri turut menasihatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati memandu semasa musim perayaan itu.

“Dalam bergembira menyambut Aidilfitri, saya berharap kepada semua supaya berhati-hati memandu pulang ke kampung. Semoga sinar Syawal ini dapat membawa seribu keberkatan, insya-Allah.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin,” ucap Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Posting berkenaan diserikan nyanyian lagu ‘Suasana Hari Raya’ yang dipersembahkan oleh kanak-kanak Kumpulan Permata Seni dan kanak-kanak dari Rumah Baitul Barokah Wal Mahabbah, Rumah Kasih Harmoni serta Asrama Darul Falah. – Bernama / Foto TMMO

Tun Dr Mahathir – Selamat Hari Raya