Friday, July 15, 2016

Parti Tun Dr M cuma sebahagian agenda 'pembangkang besar'

Penubuhan parti baru melibatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dilihat daripada aspek lebih luas, kata Pakatan Harapan.

Ketua setiausaha sekretariatnya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, mereka bersama Mahathir sedang membincangkan keperluan mewujudkan platform pembangkang yang lebih besar.

Ia, kata Saifuddin, akan menggabungkan semua pihak yang menentang BN, termasuk pembangkang selain gabungan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ini, katanya, termasuk PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), NGO, individu tanpa parti seperti bekas pemimpin Umno yang dipecat serta Gabungan Rakyat Saksama (SAKSAMA).

SAKSAMA dianggotai tujuh parti pembangkang, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Bentuk sebenar platform tersebut boleh lahir dalam beberapa cara,” kata bekas timbalan menteri Umno itu.

“Apa yang perlu diutamakan ialah wujudnya satu blok pembangkang yang besar, bersatu dan kuat

supaya berlaku apa yang diingini rakyat, iaitu perlawanan 'satu-lawan-satu' antara pembangkang melawan BN (diperoleh).”

Saifuddin juga berkata, Pakatan Harapan memahami dinamika tertentu yang mungkin memerlukan parti baru ditubuhkan, seperti dalam kes Sabah.

Sabah menyaksikan seorang naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal digantung oleh Majlis Tertinggi Umno. Sebagai tanda protes, belau mengumumkan keluar parti.

“Contohnya, Sabah punya dinamika politik yang unik. Justeru, sekiranya Datuk Seri Shafie menubuhkan parti baru, kami memahaminya.

“Apa yang penting ialah Pakatan Harapan bekerjasama dengannya di Sabah,” katanya.

Saifuddin juga berkata gabungan Selamatkan Malaysia semalam tidak menyerang mana-mana parti, susulan semangat membentuk blok pembangkang lebih besar itu.

“Kita berhenti serang-menyerang dahulu. Kita berbincang secara hati ke hati,” katanya yang mungkin merujuk kepada tawaran gencatan senjata PAS.

Berhubung bentuk gabungan itu, Saifuddun berkata ia boleh berlaku dalam pelbagai cara seperti "PH Plus" atau "PH & Co".

Jika usaha ini berjaya, Malaysia mungkin menyaksikan gabungan terbesar pembangkang dalam sejarahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-