Friday, July 15, 2016

PAS sentiasa istiqamah dalam perjuangan - Hadi

FMT Reporters

Ahli dan pemimpin PAS yang masih bersama parti Islam itu wajib bersyukur kerana mencipta rekod ketahanan jati diri, hinggakan tiada ruang untuk melakukan rasuah, salah laku dan sebagainya.
PETALING JAYA: Dengan menyelitkan lebih 10 ayat al-Quran, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan rekod PAS yang didakwanya sentiasa beristiqamah dalam perjuangan mereka.

Presiden PAS itu menegaskan, parti itu mempunyai pendekatan tersendiri untuk bersama Islam dan ahli serta pemimpin wajib beristiqamah dengannya.

“Sehingga istiqamah dijadikan perkataan penting kepada tema beberapa kali muktamar. Hinggakan mereka yang tidak beristiqamah keluar PAS atau dipecat,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya hari ini.

Ujarnya, ahli dan pemimpin PAS wajib bersyukur kerana berjaya mencipta rekod ketahanan jati diri hinggakan tiada ruang untuk melakukan rasuah, salah laku dan sebagainya.

“Ada pun kejatuhan di Perak, contohnya kerana salah laku rakan dalam pakatan (DAP dan PKR) yang menjual kerusi,” jelasnya.

Katanya, PAS sedia berpakat dengan semua pihak dan tidak akan bersama mereka yang tidak setia dan bersedia mengikut acuan PAS, berpandukan konsep dalam Al-Quran, Kalam Allah dan Ilmunya.

“Mereka yang menubuhkan PAS menetapkan dalam Undang-undang Tubuh (Perlembagaan) PAS, hukum tertinggi ialah Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias yang nyata. Bagi memelihara perjalanan PAS maka ditubuhkan Majlis Syura Ulamak,” jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS wajib beristiqamah dan bertegas dalam perkara asas itu manakala mereka yang melanggar sempadan itu tidak patut cuba mengheret PAS tersasar daripada landasannya.

“Belajar dan faham daripada Al-Quran dan Sirah Nabawiyyah dan para salaf soleh, jangan sekali-kali terpengaruh dengan pandangan jalanan atau ilmu daripada syaitan yang meredah langit terbuka tidak mengira dosa dan pahala, serta tidak yakin kepada janji Allah,” tegasnya.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menggesa PAS beristiqamah dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan mereka.

Khalid merujuk kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyeru semua parti pembangkang berdamai dan tidak menyerang satu sama lain serta memfokuskan musuh utama iaitu Barisan Nasional.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-