Tuesday, July 26, 2016

Pemuda UMNO lapor polis dakwaan komplot jatuhkan PM

Nawar Firdaws
July 26, 2016

Laporan dibuat terhadap bekas Gabenor BNM, bekas Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis terhadap bekas ketua daripada dua institusi dan seorang lagi yang bakal bersara atas dakwaan cuba menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Naib ketua sayap Umno itu, Khairul Azwan Harun membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

“Saya mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai bahawa individu yang dinamakan ada secara berseorangan dan/atau bersama terlibat dalam satu konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri serta kerajaan Malaysia yang sah,” kata Khairul.

Kaedah yang digunakan mereka bertiga, tambah Khairul, termasuk menyediakan maklumat sulit kepada badan-badan Amerika Syarikat seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Ia dilakukan tanpa kelulusan yang sah daripada, antara lain, Jabatan Peguam Negara, katanya.

Beliau turut mendakwa sebahagian besar dokumen-dokumen itu adalah rekaan dan dipalsukan untuk membantu tri itu mencapai matlamat jahat mereka.

“Perkara yang saya laporkan di sini bukanlah dakwaan semata-mata tanpa asas dan saya pohon supaya pihak polis menyiasat perkara ini dengan segera.”

Laporan Khairul itu menyusuli saman penyitaan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap individu-individu yang didakwa melesapkan lebih AS$3.5 bilion (RM14.24 bilion) wang 1MDB.

DoJ mendakwa kesalahan dilakukan dalam tempoh empat tahun dan melibatkan pelbagai individu, termasuk pegawai warga Malaysia dan rakan-rakan mereka, yang berkonspirasi untuk melencongkan berbilion dolar daripada 1MDB secara tipuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-