Tuesday, July 12, 2016

Pentadbiran Malaysia selari pemikiran Al-Ghazali?

OLEH RADZUAN HASSAN
Mungkin ada yang memandang remeh sekiranya ada pihak membandingkan kepimpinan negara dengan konsep pemerintahan yang digariskan oleh ulama Islam tersohor, Iman Al-Ghazali.

Mungkin ada menyifatkan ia macam langit dan bumi.

Jika ada sejauhmanakah wawasan kepimpinan dan asas pemerintahan yang dilihat terbaik oleh Al-Ghazali telah berlaku dalam kepimpinan politik di Malaysia?

Itu persoalannya yang cuba dikupas oleh Tan Sri Alies Anor dalam bukunya bertajuk Negara Maslahah: Pemikiran Al-Ghazali Dan Konteks Politik Malaysia di sini baru-baru ini.

Kegigihan Alies menganalisis 'perjalanan batin Al-Ghazali' bagi melihat kerangka politik Islam terbaik dan mengaitkan dengan usaha pembangunan Islam di Malaysia satu percubaan yang baik dalam disiplin ilmu.

Apatah lagi apabila penulis membuat simpulan acuan Al-Ghazali itu relevan di Malaysia seterusnya menjadi acuan budaya politik yang beradab.

Ketika buku itu 'dibedah' oleh Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Abdul Salam Muhammad Shukri, beliau menekankan betapa ulama memainkan peranan sebagai penasihat yang baik kepada pemimpin.
ABDUL SALAM MUHAMAD
Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab golongan ulama untuk memastikan pemerintah mentadbir negara secara adil dan berlandaskan ajaran Islam.

"Pemerintahan itu merupakan satu nikmat besar diberikan Allah yang hendaklah disyukuri dan dilaksanakan dengan amanah. Pemerintah, kerajaan, negara amat penting kepada agama kita, tanpa pemerintah dan kerajaan, siapa mahu jaga agama? Jaga rakyat?," tanya dalam forum di sini baru-baru ini.

"Bagaimanapun, pemerintah mesti tunaikan amanah, jalankan hukuman dengan adil. Sekiranya tidak ikut, menjadi tanggungjawab pada ulama untuk menasihati pemerintah, dalam erti kata lain kedua-duanya saling memainkan peranan," katanya lagi.

Abdul Salam seterusnya mahu ahli-ahli politik beragama Islam membaca buku tersebut dan jika mengamalkannya negara akan selamat dan mendapat 'perlindungan' daripada Allah.

"Hubungkan teori-teori politik Islam, Tan Sri (Alies) menceritakan pemikiran politik seperti Al Farabi, Ibnu Sina, Almawadi dan Ibnu Taimiyah terutama dalam siasah syariah, tanggungjawab rakyat terhadap pemerintah," katanya.

Sementara itu seorang ahli panel yang 'membedah' buku Alies, Profesor Dr. Shamrahayu Abd. Aziz yang juga pakar perlembagaan memberitahu, penulis cuba sebaik mungkin menterjemahkah falsafah politik Islam ke dalam pentadbiran.
SHAMRAHAYU ABDUL AZIZ
Menurutnya, menulis buku sedemikan bukan calang-calang orang mampu merealisasikannya kerana ia menjadi buku pertama menggunakan pendekatan politik dalam disiplin ilmu tasawuf.

"Jadi metod dalam buku ini, penulis banding falsafah politik dan kenegaraan dalam pentadbiran negara dan istilah maslahah iaitu peraturan berteraskan maqasid syariah dipilih," ujarnya.

Menurut Shamrahayu, negara maslahah yang diinginkan Al-Ghazali untuk mentadbir negara mesti mendapat kebahagiaan duniawi, ukhrawi, rohani dan jasmani.

Menurutnya, gabungan baik ulama dan umara khususnya orang Melayu mesti dilakukan menerusi empat faktor iaitu mengukuhkan institusi raja, memperkasakan ulama selain ilmu dan agama.

"Penulisan sebegini sebagai pelopor dan pemikiran Al-Ghazali pilihan terbaik," katanya.--MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-