Saturday, July 30, 2016

Rakyat jadi saksi segala-galanya - Shukri

NASIONAL
OLEH KUMARA SABAPATTY DI PUTRAJAYA
Pelbagai rintangan dan ugutan sehingga menerima kelongsong peluru dihadapi dalam kerjayanya. Namun segalanya ditempuh dengan penuh berani, cekal demi satu tujuan dan misi, iaitu memerangi rasuah.

Semangat yang menjadi pedoman kerjaya tiga kesatria tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kini sampai ke pengakhiran selepas mengharungi perjalanan lebih 30 tahun.

Siapa lagi kalau bukannya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdul dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali.

Kontrak Abu Kassim tamat pada 1 Ogos ini dan Mohd. Shukri pula memulakan pesaraaan manakala Mustafar Ali dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen Malaysia berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Hari terakhir mereka di bangunan Ibu Pejabat di Putrajaya diselubungi kesedihan sehingga Mohd. Shukri mula sebak dan menangis ketika berucap di pentas utama di hadapan pegawai dan kakitangan SPRM yang turut menitiskan air mata.

Setiap perkataan dan amanat yang terkeluar dari mulut pegawai yang dianugerahkan Tokoh Kesatria SPRM itu penuh keikhlasan yang mahu terus dipegang anak buahnya dalam berjuang tanpa berganjak dari tanggungjawab yan dipukulnya.

Suasana itu seolah-seolah menunjukkan SPRM kini ditinggalkan di medan pertempuran rasuah tanpa tiga kesatria utama.

Dengan nada sebak beliau berkongsi detik cemas yang mengancam nyawanya ketika bersama SPRM sejak 1984.

"Bayangkan pernah menerima ugutan bunuh dalam bentuk kelongsong peluru, saya tak dapat tidur sejak itu dan trauma selama 14 hari siang dan malam, manakala tekanan darah tinggi dan doktor tidak dapat mencari penyakit saya.

"Saya di satu masa hampir berputus asa sehingga tiga kali ketika berdepan krisis besar pada 2009 (kematian Teoh Beng Hock) dan tahun lepas, tetapi Tan Sri yang membantu saya ibarat bergenggam tangan antara satu sama lain meredah bersama apa jua rintangan.

"Kami tidak pernah ada rahsia kecuali permintaan beliau mahu menamatkan perkhidmatan, kita tiada pilihan kekal di tempat yang sama selama-lamanya. Hari ini saya sedih dengan perpisahan melibatkan pengurusan tertinggi," katanya.

Beliau berucap di Majlis paluan berundur anjuran SPRM di Putrajaya yang menyaksikan Abu Kassim dianugerahkan Tokoh Transformasi SPRM manakala Mustafar Ali pula dianugerahkan Tokoh Intergriti SPRM.

Mohd Shukri turut menyentuh tentang laporan polis oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap Abu Kassim.

Sambil menyifatkan Individu yang melemparkan fitnah konspirasi ke atas Abu Kassim itu sebagai tidak berilmu, katanya, beliau dan juga SPRM kecewa dengan sikap individu itu yang tergamak melakukan perbuatan tidak beretika dan berbaur fitnah itu.

"Ada yang memfitnah dan tergamak membuat laporan polis bahawa Tan Sri (Abu Kassim) berkonspirasi menjatuhkan kerajaan.

"Individu yang tidak berilmu ini tidak boleh membezakan perjuangan rasuah dan semangat sayangkan negara.

"Pihak yang menentang SPRM ini adalah pencacai dan pendukung rasuah, ramai rakyat di bawah menaruh harapan tinggi terhadap SPRM dan kita perlu memikul amanat itu secara berani dan berdedikasi," katanya.

"Tetapi jangan jadi seperti lalat yang kotor dan membawa penyakit berjangkit untuk semua.

"Kepada para ahli-ahli politik, menteri dan wakil rakyat sesiapa sahaja, janganlah lupa kamu di sana disebabkan rakyat, buatlah khidmat secara telus, ikhlas dan bertanggungjawab kerana rakyat akan menjadi saksi segala-galanya" ujarnya lagi.

Beliau mengimbas kad perakam buat kali terakhir bersama-sama dengan Abu Kassim dan Mustafar sebelum dibawa memeriksaperbarisan kawalan lintas hormat dan seterusnya Paluan Berundur sekitar 6 petang.

Para kakitangan dan pegawai yang terdiri daripada berbilang kaum mengambil kesempatan mengucapkan selamat tinggal kepada tiga pegawai tertinggi kesayangan dan menjadi simbol intergriti, kesatria dan transformasi dalam memerangi rasuah.

-- MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-