Saturday, July 23, 2016

Sejauh mana parti serpihan dapat kekal dalam politik negara?

Aedi Asri

Sejarah politik negara menunjukkan hanya dua parti serpihan yang mampu bertahan, iaitu PAS dan PKR.
KUALA LUMPUR: Dengan lanskap politik negara yang sama sekali berbeza berbanding dahulu, adakah tanggapan parti serpihan tidak akan kekal lama masih lagi relevan?

Sejarah politik negara menunjukkan hanya dua parti serpihan yang mampu bertahan, iaitu PAS dan PKR (kedua-duanya daripada Umno). Parti lain seperti Semangat 46 berkubur pada usia muda, manakala Parti Negara tidak mendapat sokongan ramai.

Maka bagaimana dengan nasib Amanah dan parti baru Tun Mahathir Mohamad nanti?

Bagi penganalisis politik Profesor Datuk Dr Ramlah Adam, tanggapan itu masih relevan hari ini walaupun keadaan politik sudah jauh berubah.

Beliau berkata, ini kerana Amanah dan parti baru Mahathir yang bakal ditubuhkan tidak akan dapat menggugat parti asal mereka yang sudah wujud sejak sekian lama dengan tradisi yang panjang.

“Untuk kekal lama, parti politik perlu ada penyokong yang ramai untuk mewujudkan asas kesetiaan yang tuntas, serta prinsip yang jelas. Katalah apa pun kepada Umno, prinsipnya jelas perjuangkan Melayu. PAS pula sudah kembali kepada perjuangan Islamnya.

“Ini menyebabkan parti-parti serpihannya susah untuk naik, apatah lagi ingin bertahan lama,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau juga berkata, kebanyakan ahli yang keluar, terutama daripada Umno, masih melihat parti Melayu itu sebagai parti induk mereka.

“Misalnya Semangat 46 yang agak berjaya, tetapi tidak kekal lama. Ini kerana sentimen orang lama seperti Ku Li yang masih kuat terhadap Umno. Datuk Onn Jaafar pula sebelum meninggal dunia pada 1962 pernah berpesan agar penyokongnya kembali kepada Umno,” dakwa Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis itu lagi.

Selepas meninggalkan Umno pada 26 Ogos 1951, Onn Jaafar menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya pada 1952 dan Parti Negara pada 1954. Kedua-duanya gagal memberikan cabaran kepada parti yang diasaskannya sendiri.

Pada 14 Julai lalu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengumumkan sebuah parti baru akan ditubuhkan bagi mewujudkan gabungan pembangkang yang lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Parti itu dikatakan bakal dikemudi bekas pemimpin-pemimpin Umno termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Felo Penang Institute Dr Wong Chin Huat pula berkata kegagalan parti-parti serpihan sebelum ini bukan kayu pengukur kepada nasib Amanah dan parti baru Tun Mahathir.

Beliau berkata, parti serpihan PAS sebelum ini iaitu Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) gagal lantaran ditolak penyokong kerana bekerjasama dengan Umno, selain disekat Umno sendiri yang hanya mempergunakan mereka untuk melemahkan PAS.

Katanya lagi, Semangat 46 pula gagal kerana pengundinya pada PRU 1990 dan 1995 bertebar di merata tempat dan tidak bertumpu di kawasan yang ditandingi.

“Terutama di kawasan pantai Barat (Semenanjung), di mana undi yang diperolehi gagal diterjemahkan kepada kerusi,” katanya kepada FMT.

Justeru, katanya lagi, kejayaan Amanah dan parti baru Mahathir bergantung kepada kawasan yang akan mereka tandingi pada PRU akan datang.

“Jelas, parti (Tun Mahathir) akan bertanding di kawasan yang kini dipegang Umno. Kecuali PAS sanggup berkompromi, kemungkinan berlaku perlawanan tiga penjuru antara Umno, PAS dan parti baru Mahathir. Jadi yang mana satu lebih meyakinkan pengundi untuk mengalahkan Umno – Ustaz Hadi atau Dr Mahathir?”

Katanya lagi, setiap parti memerlukan agenda yang jelas untuk kekal relevan buat jangka masa panjang.

“Amanah berbeza dengan PAS dari segi ideologi. Ia adalah parti Muslim demokrat yang bercakap tentang maqasid syariah, manakala PAS kekal sebagai parti Muslim nasionalis yang mahukan pelaksanaan undang-undang syariah secara harfiah (literal).

“Parti baru Mahathir pula tidak boleh menjadi parti anti-Najib semata-mata, itulah punca kegagalan Deklarasi Rakyat. Survival parti ini bergantung kepada keupayaannya menangani isu Melayu, yang kebanyakannya bimbang nasib mereka akan lebih buruk jika Umno dijatuhkan.. Inilah yang gagal ditangani PKR, PAS, Amanah dan DAP sebelum ini,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-