Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Sunday, July 31, 2016

Umno ibarat kereta buruk yang tak boleh dibaiki, kata Muhyiddin

Berbicara mengenai rancangan parti baru, bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyamakan parti pemerintah tersebut sebagai 'kereta rosak yang perlu diganti'.

"Umno sekarang seperti kereta buruk, bila baiki rosak lagi, jadi kita tukar kereta baru lah," ujar beliau, memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

"Nak baiki macam mana lagi Umno ini? Nak pinda perlembagaan? " tanya beliau.

Menurut Muhyiddin, beliau bersama-sama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mempengerusikan jawatankuasa perlembagaan parti, namun, tiada apa yang telah berubah.

"Tapi tak berubah, macam itu lah juga Umno, lebih lagi bila presiden partinya menjadi seorang yang amat tak bertanggungjawab," jelasnya, menurut laporan akhbar berbahasa Melayu itu.

Umno akhirnya memecat Muhyiddin bulan lalu selepas dia berulang kali mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Terdahulu, beliau dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dalam tindakan drastik yang turut menyaksikan tempat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail digantikan dan pasukan petugas khas menyiasat 1MDB dibubarkan.

Sejak pemecatannya dari parti pemerintah, Muhyiddin bersama-sama dengan Mahathir telah beralih platform kepada pakatan pembangkang untuk menangani Barisan Nasional.

Semalam, Muhyiddin menyertai bekas musuhnya, PKR untuk memulakan kempen menjelaskan kepada umum mengenai skandal 1MDB bagi meningkatkan kefahaman awam mengenainya.

[Baca berita penuh]