Wednesday, August 24, 2016

26 Oktober dengar permohonan Najib, isteri gantung prosiding kes saman

 This Page Send by Email
Kuala Lumpur – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 26 Oktober untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggantung prosiding kes saman mereka terhadap Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli dan satu pihak lagi berhubung isu subsidi minyak.

Timbalan Pendaftar, Nurul Ain Hamzah menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam, Nik Alia Nik Hanafi yang mewakili Perdana Menteri dan isteri selaku plaintif.

Dalam saman fitnah tersebut, pasangan itu menamakan Mohd. Rafizi dan pemilik portal ‘Media Rakyat’, Chan Chee Kong sebagai defendan.

Peguam, Joanne Leong mewakili Chan manakala Ng Siau Sun bertindak bagi pihak Mohd. Rafizi.

Joanne ketika ditemui pemberita berkata, kedua-dua plaintif memohon untuk menggantung prosiding kes saman itu sehingga rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini didengar di Mahkamah Rayuan pada 28 November.

Najib dan Rosmah merayu terhadap keputusan Hakim, Datuk Noraini Abdul Rahman yang menolak permohonan mereka bagi memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan kedua-dua defendan pada 15 April lepas.

Mereka memohon memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan itu atas alasan pembelaan kedua-dua defendan bukan satu komen berpatutan, sebaliknya ia adalah fakta.

Pada 16 April tahun lalu, Najib dan Rosmah memfailkan saman itu mendakwa Mohd. Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak, di sini pada 22 November 2014.

Dalam pernyataan tuntutan itu, pasangan itu mendakwa ucapan Mohd. Rafizi telah dirakam oleh ‘Media Rakyat’ yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk ‘Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak’.

Mereka juga mendakwa bahawa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chan dalam laman Facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.

Menurut mereka lagi, Chan telah gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.

Najib dan Rosmah menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, tambahan dan teladan serta satu perintah supaya Mohd Rafizi dan Chan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah. – Antarapos

Read more http://www.kualalumpurpost.net/26-oktober-dengar-permohonan-najib-isteri-gantung-prosiding-kes-saman/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-