Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Thursday, August 4, 2016

Dihujani asakan wartawan, ini jawapan Khairul Azwan

Zulaikha Zulkifli
Naib Ketua Umno Khairul Azwan Harun akhirnya menjelaskan laporan polis yang dibuat terhadap tiga tokoh penjawat awam sebelum ini.

Berikut transkrip soal jawab penuh ketika sidang media di Kelana Jaya hari ini:

Wartawan: Tuan kata akan 'bangkit', adakah akan buat perhimpunan?

Azwan: Kita akan beritahu.

Sebab Jamal Yunos kata akan buat perhimpunan, adakah Pemuda Umno akan sertai?

Kita akan beritahu.

Apa yang dimaksudkan sebagai cubaan gulingkan kerajaan?

Boleh merujuk kepada laporan yang telah saya buat.

Semalam IGP cakap anda buat laporan berdasarkan andaian sahaja, macam mana boleh dapat dakwaan untuk gulingkan kerajaan?

Ia bukan andaian. Ia adalah satu laporan polis yang telah saya buat.

Tapi IGP cakap ia berdasarkan andaian dan dia tutup kes?

Saya telah buat satu laporan polis dan saya difahamkan IGP memaklumkan polis tak akan meneruskan siasatan, dan juga difahamkan tiada tindakan yang akan diambil ke atas saya.

Dan ia satu laporan polis yang telah kami buat.

Bagaimana laporan polis itu dibuat hanya berdasarkan andaian?

Rujuk laporan saya.

Apakah bukti (mengatakan ada cubaan jatuhkan PM)?

Rujuk pada laporan saya.

Ada bukti?

Saya telah buat laporan polis. Dan telah serahkan pada pihak polis berdasarkan pada keyakinan saya kepercayaan saya. Jadi saya telah lakukan perkara tersebut bagi pihak polis menyiasat.

Siapakah yang arahkan anda buat laporan polis?

Saya sendiri.

Ada bukti tak berhubung laporan yang dibuat?

Saya dah buat laporan saya.

Apakah bukti yang ditunjukkan (pada polis)?

Saya dah buat laporan polis dan beri keterangan bertulis.

Memandangkan IGP kata tak akan teruskan siasatan, apakah tindakan seterusnya?

IGP telah maklumkan tidak akan teruskan siasatan dan difahamkan IGP juga tidak akan mengambil tindakan ke atas kami, mungkin ini satu Mexican stand off.

Laporan itu akan ditutup begitu sahaja?

Saya tidak tahu.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin kata beliau tidak akan back up anda, jadi apa yang anda rasa tentang perkara itu?

Tanggungjawab Pemuda adalah untuk pertahankan kepimpinan Najib Razak dan kami akan terus komited untuk jalankan tugas.

Khairy kata (laporan polis) tak ada kena mengena dengan Pemuda Umno?

Boleh tanya dia (Khairy).

Kalau ikutkan laporan polis, ia dibuat oleh peribadi dan bukan parti?

Pada laporan polis tu tertera nama saya Khairul Azwan Harun.

Rasa menyesal dengan laporan polis yang dibuat?

Never (tidak sekali-kali).

Akan mohon maaf pada 'Tiga Tan Sri'?

Never.

Bagaimana boleh timbulnya nama tiga Tan Sri itu?

Rujuk pada laporan saya.

Anda kata ia satu Mexican stand off, jadi ia pendirian anda untuk melindungi Najib?

Saya merujuk kepada ketetapan yang dibuat IGP, tiada siasatan lanjutan dan tiada tindakan ke atas kami.

Saya telah serahkan laporan kepada polis dan siasatan telah dibuat. Jadi saya ulang lagi, kalau kamu serang Najib Razak bermakna kamu serang Umno dan BN. Bila kamu serang Umno dan BN, kami akan bangkit membalas.

Adakah anda nak kata bahawa tiga Tan Sri itu menyerang Najib?

Rujuk pada laporan sayalah.

Ada yang mengatakan sebelum laporan polis dibuat, ia tak dibincang dalam mesyuarat exco Pemuda Umno?

Benda ini kemudian telah dibincang.

Ada terima surat dari Tan Sri Abdul Ghani Patail? Kerana beliau kata akan saman anda?

Tidak.

Adakah kenyataan hari ini kenyataan Pemuda Umno?

Saya tampil kerana pertanyaan dan persoalan diajukan kepada saya. Jadi kami hadir untuk maklumkan apa yang kami maklumkan.

Tindakan ini dari Pemuda sendiri?

Tanggungjawab kami untuk pertahankan kepimpinan. Dan kerajaan yang sah.

(Adakah sidang media ini) tindakan Pemuda?

Kami telah buat laporan polis jadi itulah apa kami buat.

(Adakah) atas platform Pemuda laporan polis itu dibuat?

Kami bertanggungjawab jadi kami buat laporan tersebut.

Bersedia dengan tindakan oleh tiga Tan sri?

Terserah.

Tindakan buat polis report tu... (soalan tidak jelas kedengaran)?

Menjadi hak rakyat Malaysia untuk meminta bantuan dari pihak polis. Saya mengambil pendekatan yang mudah. Kalau kita ragui sesuatu perkara cara terbaiknya buat laporan polis daripada kita ambil perkara tersebut atas tindakan kita sendiri.

Jadi saya mengajak rakyat Malaysia, kalau ada keraguan, kegusaran, apa perkara sekalipun, buat laporan polis.

Walaupun tak ada asas untuk buat laporan polis?

Saya ada asas untuk buat laporan polis.

Tapi kami tak tahu apa asasnya. Itu persoalannya?

Rujuk pada laporan saya.

IGP kata itu pun satu andaian, macam mana kita nak rujuk?

Saya dah buat laporan polis.

Mungkin akan ada laporan polis selepas ini?

Saya tak tahu lagi.

Sekarang polis dah tutup kes. Macam mana?

Saya dah cakap tadi. Mexican stand off.

Yang penting kami telah menjalankan tanggungjawab untuk mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri dan presiden parti dan kami akan terus melakukan dan melaksanakan tanggungjawab ini.

Dalam apa jua keadaan?

Dalam apa jua keadaan. Sampai hari ini kita mempertahankan pemimpin kita yang dipilih secara demokrasi.

Maknanya Pemuda bertanggungjawab untuk jaga PM dengan salah satunya buat laporan polis?

Ya.

Selain tu Pemuda ada rancangan lain?

Untuk didik rakyat supaya menghormati negara, hormati proses demokrasi, kita ada pilihan raya. Kalau rasa yakin dan kuat kita nak tukar kerajaan buat melalui peti undi.

Anda satu-satunya yang menamakan tiga Tan Sri tetapi Pemuda lain tak keluarkan apa-apa nama?

Ya, kami telah lakukan tanggungjawab tersebut.

Berdasarkan sidang media perdana menteri sebelum ini, beliau kata laporan polis itu tindakan individu, tapi tuan kata ini tindakan Pemuda Umno. Jadi?

Ya. Kita, kami. Kita lakukan bersama.

Dan kita bersyukur kita berjaya mematahkan satu cubaan.

Jadi itu tindakan kami? Pemuda?

Kami. Kita. Pemuda. Saya.

Adakah sebelum buat laporan polis dah minta pandangan ketua Pemuda?

Boleh tanya dia.

Dari pihak tuan sendiri, dah tanya KJ tak?

Boleh tanya KJ.

Tapi kita nak tahu dari tuan?

Kita buat laporan itu tertulis nama saya.

Tak mendapat nasihat KJ?

Kami bertindak atas rasa tanggungjawab.

Maknanya tak minta nasihat KJ sebelum buat laporan polis?

Saya dah cakap mengenai perkara ini banyak kali. Kami bertanggjawab dan telah pun laksana tanggungjawab kami.

Anda tidak jawab soalan.

Terserah.

Adakah tuan ada dokumen berkaitan?

Saya dah jawab tadi, rujuk pada laporan saya dan boleh tanya pihak IGP. Saya dah berikan segala macam kerjasama.

Memandangkan polis tak akan buat apa-apa, ada apa-apa cadangan untuk dedahkan?

Ia Mexican stand off. Tapi saya nak ucap terima kasih pada pihak IGP dan polis kerana mereka memberikan kerjasama dan saya memberikan kerjasama.

Adakah masih pertahankan laporan polis berkenaan?

Ya, sudah tentu kerana itulah keyakinan saya dan kepercayaan saya.

Walaupun polis tak teruskan siasatan?

Yang penting sekarang ini kita berjaya patahkan satu cubaan, menghalang satu cubaan.

Orang tak tahu masih tertanya tanya. Benda apa yang dihalang?

Saya dah buat laporan polis supaya polis boleh menyiasat dan dengan harapan perkara tak diingini tidak berlaku. Dan alhamdulillah, tidak berlaku.

Ada pandangan mengatakan anda tak akan berani buat laporan polis ini sebab ada pihak-pihak yang sokong di belakang anda. Sejauh mana pandangan ini? Adakah benar?

Saya buat laporan polis dan laporan polis itu tertera nama saya. Dan saya ulang ini tanggungjawab kami.

Boleh ulangi apa isi kandungan laporan polis?

Saya rasa anda boleh dapatkan salinan daripada pihak polis. Di (IPD) Dang Wangi.

Tak ingat apa dalam laporan?

Panjang. Dah jadi viral. Saya rasa awak boleh dapatkan salinan laporan dari situ.

Jadi anda buat laporan polis dan anda lupa laporan itu?

Ya, panjang.

Ada yang katakan tindakan you tak sehaluan dengan ketua Pemuda?

Tak benar.

Apa perasaan bila laporan polis itu diabaikan IGP?

Saya dah sebut tadi. Penyiasatan, IGP tak akan teruskan dan saya difahamkan tindakan tak akan diambil, jadi ini Mexican stand off. Saya dah buat laporan polis.

Akan ada komplot seperti ini lagi ke?

Tak tahu. Kalau ada, saya buat laporan polis. Menjadi hak kita tanggungjawab kita kalau rasa ada keraguan maklumat, jadi rujuk pada polis. Nak rujuk pada polis kena buat laporan polis. Bukan buat sidang media.

Sidang media ini untuk bantu sahabat-sahabat kerana saya terima banyak panggilan WhatsApp. Saya tak mampu jawab satu persatu. Saya harap ia akan membantu menjawab sesetengah daripada soalan kamu yang relevan. Bukan semua.

Maknanya kalau tak ada tindakan dari polis, maknanya perkara itu...?

Tiada tindakan dari polis? saya tak tahu tindakan apa tapi jika tiada tindakan dari saya, saya takut benda tak diingini akan berlaku. Itu saya maksudkan.

Tapi polis tak teruskan siasatan maknanya tiada wujudlah (andaian untuk jatuhkan Najib)?

Polis pun tak akan ambil tindakan terhadap kami. Itu saya difahamkan. Jadi saya ucap terima kasih pada IGP dan PDRM. Saya faham, mungkin ada keputusan dan ketetapan yang IGP dan PDRM ambil. Saya faham, tapi saya terima.

Setuju tak jika kata saudara ini dijadikan kambing hitam?

Tidak.

Jadi laporan polis perkara paling ke depan yang Pemuda Umno boleh lakukan?

Setakat hari ini kami anggap ia satu kejayaan untuk mematahkan satu cubaan.

Jadi cubaan itu gagal?

Setelah saya buat laporan polis maka cubaan itu gagallah.

Maknanya kalau tuan tak buat laporan polis?

Saya percaya ada perkara tak diingini boleh berlaku.

Maknanya risiko perkara tak diingini besar?

Terserah.

Apa komen anda bila tengok komen di WhatsApp, di Facebook yang hentam Pemuda Umno dan bukan anda?

Bercampur aduk. Kita ada 30 juta rakyat. Sentiasa ada dua bahagian pada satu cerita. Ada yang suka, ada yang tak suka.

Ini tanggungjawab kami, jadi kami akan teruskan komitmen ini. Itu jelas. Dalam konteks mempertahankan Perdana Menteri, menjadi tanggungjawab Pemuda Umno, maka kita akan buat.

Kami itu siapa?

Kami, kita, Pemuda, Saya, KJ (Khairy Jamaluddin).

Tapi presiden cakap itu tindakan individu bukan parti?

Laporan polis itu individulah. Sebab nama saya. Tak boleh tulis Pergerakan Pemuda Umno dalam laporan.

Ada yang akan hentam ada akan suka. 30 juta rakyat. Saya kenal ramai juga daripada 30 juta tu. Ada yang kata OK ada yang tak OK.

Selepas ini adakah anda rasa orang akan percaya dengan laporan polis yang anda buat?

Bukan soal percaya tak percaya ini soal polis. Untuk jawab soalan anda, ia sentiasa ada dua bahagian terhadap sesuatu cerita. Nak percaya dan tak nak percaya. Kalau buat laporan polis, polis akan buat tindakan susulan.

Tuan cakap laporan dibuat berpandu pada asas, asas tu diambil dari mana?

Saya dah serahkan pada polis dalam keterangan saya.

Isu itu timbul dari orang dalam ke?

Saya dah serah pada polis keterangan saya.

Tuan tahu tak asas itu dari mana?

Macam-macam. saya dah serahkan asas saya itu.

Tiada dalam laporan polis asas itu?

Sudah tentu. Prosesnya bila dah lapor, kemudian polis akan panggil dan buat rakaman keterangan dan saya telah dipanggil memberi kenyataan bertulis saya. Sudah tentu kenyataan bertulis lagi panjang dari laporan polis.

Terang sikit tentang asas?

Saya dah buat laporan.