Tuesday, August 30, 2016

Husam kini AMANAH

Anne Muhammad
Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sah menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas mengumumkannya di sebuah majlis makan malam di Cyberjaya sebentar tadi.

"Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal, saya serahkan diri pada perjuangan AMANAH," katanya.

Husam berkata ramai orang yang ditemuinya menyarankannya menyertai AMANAH, termasuk individu yang ditemui di dalam teksi, pasar atau lapangan terbang.

Dalam ucapannya Husam yang pernah dilihat sebagai pemimpin pelapis di Kelantan selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata ada pihak yang membandingkan kepimpinan PAS dan AMANAH.

Bagaimanapun kata Husam, dalam kepimpinan merit utama bukanlah tinggi rendah ilmu agama mereka sebaliknya kepintaran bacaan politik serta komitmen, pengorbanan dan "suluhan perjuangan" masing-masing.

"Mohamad Sabu (presiden AMANAH) pernah masuk penjara. Adakah orang seperti ini tak ada langsung nilai kepimpinan sehingga yang kita besarkan adalah kelulusan agama padahal merit pada kelulusan itu tak ada," katanya.

Selepas selesai menyampaikan ucapan Husam menyerahkan borang keahliannya kepada Mohamad.

Kemunculan di atas pentas AMANAH malam ini bukanlah kali pertama buat Husam.

Pada Januari 2015 lalu beliau pernah berucap dalam majlis makan malam AMANAH di Petaling Jaya.

Husam dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu selepas sering mengkritik kepimpinan parti, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob yang juga timbalan mursyidul am parti berkenaan.

Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas, Husam kini menyarung 'jersi' baru kerana berpendapat “berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan” untuk bekas mahasiswa Universiti Malaya itu.

Husam antara sekumpulan besar kumpulan sederhana yang disingkirkan perwakilan dalam pemilihan PAS di Kuala Selangor pada 2015.

[Berita lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-