Saturday, August 13, 2016

Jangan ada nolstagia dengan bekas pemimpin khianat parti

OLEH RADZUAN HASSAN
Ismail Sabri Yaakob
Jangan layan sangat nolstagia bersama bekas pemimpin sehingga ia merosakkan kekuatan parti UMNO.

Itu nasihat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulas sesetengah ahli parti yang masih obses dengan bekas pemimpin parti yang kini menjadi pembangkang.

"Kita (ahli-ahli UMNO) kena ingat mereka (bekas pemimpin) itu sudah jadi pembangkang..jangan ada nostalgia dengan mereka..taraf mereka kini pembangkang," ujarnya pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai.

Bekas pemimpin itu ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Terdahulu, Ismail Sabri juga memberitahu, tindakan parti memecat dan membiarkan bekas pemimpin terbabit keluar dari UMNO adalah tepat kerana lebih mudah berhadapan dengan mereka di luar daripada di dalam parti.

Beliau juga yakin UMNO dan Barisan Nasional boleh merampas semula kerusi Parlimen Lembah Pantai memandangkan faktor perpecahan dalam parti pembangkang dan wakil rakyat pembangkang, Nurul Izzah Anwar tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Mereka (berpecah) Nurul Izzah tak buat kerja takkan kita (UMNO) tidak boleh menang (pilihan raya umum akan datang) jangan ada masalah dalaman sahaja," katanya lagi.

Beliau berkata, dalam politik jangan jadi seperti pemain badminton kerana untuk menang tidak boleh menunggu lawan membuat silap sahaja tetapi dalam masa yang sama pemain itu sendiri tidak boleh melakukan kesilapan sendiri.

Menyentuh Parti Peribumi Bersatu Malaysia, Ismail Sabri berkata, parti berkenaan hanya bermatlamat untuk menjatuhkan pemimpin negara dan tidak ada matlamat perjuangan jelas memperjuangkan agama dan Melayu seperti UMNO.

Beliau hanya menyebut nama parti itu sebagat parti Peribumi kerana beranggapan perkataan bersatu merupakan cogan kata dan milik UMNO.

"Saya harap kita kukuh bersatu kerana pilihan raya akan datang merupakan ibu segala pilihan raya..kalau UMNO kecundang berakhirlah hak orang Melayu dan kita mesti pertahankannya," jelasnya.

--MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-