Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, August 26, 2016

"Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar'

Tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak memberikan 100 peratus pinjaman pendidikan adalah satu tindakan ke belakang yang akan menjejaskan peluang golongan muda untuk menyambung pelajaran, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

"Dalam keadaan ekonomi rakyat yang semakin terhimpit dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi, sudah pasti menyukarkan lagi kehidupan rakyat kerana ibubapa yang kurang mampu terpaksa menampung perbelanjaan pelajaran mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan. kata Faiz, seharusnya menyemak semula bajet pendidikan yang dipotong sebanyak RM2.4 bilion dengan meningkatkan bajet pendidikan dan menyuntik lebih banyak dana kepada PTPTN untuk memberikan semula pinjaman penuh pendidikan.

Selain itu, tegasnya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disarankan memberikan lebih banyak bantuan pendidikan kerana seharusnya mereka menjaga kebajikan sosial dan bukannya mementingkan keuntungan untuk kepentingan pihak tertentu sahaja.

"Ke mana perginya keuntungan berbilion ringgit syarikat milik kerajaan ini?

"Alasan yang diberikan PTPTN bahawa mereka kekurangan dana kerana bayaran balik peminjam terdahulu yang rendah, seolah-olah menghukum rakyat.

"Hakikatnya, bukan keengganan membayar balik pinjaman, cuma ketidakmampuan lepasan universiti adalah punca utama," katanya lagi.

Sudah pasti, tegas Faiz, dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi termasuk harga rumah yang mahal, telah menjejaskan kemampuan mereka untuk membayar balik pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan PTPTN.

"Kesukaran ini ditambah pula dengan pekerjaan yang sukar sekarang di mana dianggarkan lebih 400,000 graduan masih mengganggur.

"Adalah tidak logik mengharapkan bayaran balik pinjaman jika mereka tidak mempunyai pendapatan. Jangan marahkan nyamuk, kelambu pula yang dibakar," katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan menyelesaikan masalah pokok rakyat iaitu masalah ekonomi yang semakin meleset akibat korupsi dan ketirisan wang negara.

"Jika masalah ini berlarutan, bukan sahaja pinjaman pendidikan dikurangkan, malahan lebih banyak insentif lain untuk rakyat akan terjejas.

"Pendidikan adalah teras pembangunan negara. Pendidikan percuma yang merupakan salah satu agenda reformasi Pakatan Harapan pasti mampu mengangkat semula martabat negara dalam sektor pendidikan dan pembangunan insan," tambahnya.