Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Monday, August 8, 2016

'Muhyiddin tak sehebat Anwar, parti baru tak akan bertahan

Kewibawaan adalah sangat penting dalam menentukan hala tuju parti dan sejauh mana sokongan akar umbi, kata seorang penganalisis politik.

Dan menurut Prof Madya Jeniri Amir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dijadualkan mengetuai sebuah parti baru, kurang menyerlah, tidak seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Jeniri, tidak yakin parti baru berkenaan akan memberi kesan besar dan hanya akan menarik sokongan daripada segelintir individu yang kecewa dengan Umno.

Katanya, sejarah telah membuktikan jangka hayat parti serpihan Umno adalah agak singkat seperti dalam kes Semangat 46.

“Saya percaya kehadiran parti baru serpihan Umno tidak mampu bertahan lama memandangkan ia hanya menampung mereka yang kecewa dengan pimpinan sekarang,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Menurut profesor itu, kekurangan kepimpinan berwibawa juga memainkan faktor sokongan bagi menggerakkan parti ke hadapan.

“Parti baru ini memerlukan mereka yang benar-benar berwibawa untuk mendapatkan sokongan umum, bukan sekadar ahli Umno yang kecewa,” katanya.

Jeniri berkata, penambahan parti Melayu juga akan membesarkan lagi ruang perpecahan Melayu yang kini terbahagi dua, menyokong pembangkang dan kerajaan memerintah.

“Ini hanya akan melemahkan keutuhan Melayu dan suara Melayu berpecah. Ini merugikan Melayu, sesuatu yang tidak baik,” katanya.

Walaupun Muhyiddin bakal menjadi presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad disebut akan menjadi pengerusinya.

Mukhriz anak Mahathir pula disebut-sebut sebagai bendahari.