Tuesday, August 23, 2016

Pas perlu sedia lepas kerusi kepada Bersatu & PAN - Khalid Samad

 AIDCNEWS
SHAH ALAM: Pengarah Strategik Amanah Khalid Samad berpendapat, PAS perlu bersedia melepaskan beberapa kerusi miliknya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Amanah pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Menurutnya, ia penting bagi menyaksikan kemenangan dikesemua kerusi yang bakal ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH), PAS dan BERSATU, sekaligus menjatuhkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

“Samada PAS sanggup atau tidak itu saya tidak boleh jawab, tapi bagi pandangan saya ia merupakan satu kewajipan untuk PAS bersedia untuk menyerahkan beberapa kerusi bagi membenarkan BERSATU dan Amanah (bertanding). Untuk menjamin kesatuan pembangkang yang mahu berhadapan dengan BN,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam merujuk kenyatan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata prinsip pembahagian kerusi antara pembangkang mesti memberi keutamaan kepada parti boleh menang.

Ujar Muhyiddin, pembangkang perlu fokus kepada perkara yang paling penting iaitu memperoleh kemenangan pada PRU14 dan faktor parti boleh menang perlu diutamakan dan diberikan peluang.

Mengulas mengenai itu, Khalid berkata impian untuk mentadbir Putrajaya tidak akan kesampaian sekiranya PAS mengambil pendirian melanggar prinsip ‘satu lawan satu’ yang pernah terbukti berjaya dalam menghadapi Umno-BN sebelum ini.

“Kalau mereka (PAS) tidak sanggup dan terus dengan usaha untuk membentuk Blok Ketiga dan bertanding secara bersendirian atas nama Gagasan Sejahtera maka itu menunjukkan mereka tidak anggap soal menjatuhkan BN sebagai satu keutamaan,” katanya.

PAS sebelum ini membentuk Gagasan Sejahtera kerana menolak budaya politik yang diamalkan oleh PH dan menegaskan tidak akan kembali bergabung dengan pembangkang.

Parti itu menyifatkan, PH mengamalkan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat.

BERSATU kini mengintai 88 kerusi yang dimenangi Umno-BN pada PRU13 lalu sebagai agenda utama parti berkenaan sebaik saja pendaftarannya diterima.

Malah ujar Khalid, Amanah juga memberi tumpuan kepada kerusi yang pembangkang pernah kalah kepada Umno-BN.

“Buat masa ini ada 88 kerusi Umno yang telah ditandingi oleh PAS dan PKR pada PRU13 tetapi telah dimenangi (semuanya) oleh Umno.

“Semestinya tumpuan BERSATU adalah pada 88 kerusi yang telah dimenangi oleh Umno yang mungkin akan menjadi sebagai asas perbincangan diantara mereka dengan PKR, PAS dan Amanah.

“88 kerusi ini adalah satu jumlah yang besar dan saya jangka kebanyakkan kerusi ini adalah kerusi yang telah ditandingi oleh PAS, dan sebahagian lagi ditandingi oleh PKR,” katanya – AP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-