Wednesday, August 31, 2016

Pas sedia temu Persatuan Hokkien

ONG BOON TECK
31 OGOS 2016
PERSATUAN Hokkien Malaysia mengesahkan Pas telah menghantar surat jemputan kepada persatuan itu untuk mengadakan perbincangan mengenai isu hudud pada 18 September ini.

Bagaimanapun kata presidennya, Tan Sri Khoo Chai Kaa, beliau masih belum membalas surat jemputan itu kepada Pas.

"Pas menyerahkan kepada persatuan kami untuk memilih tempat mengadakan perbincangan itu. Tetapi kami belum buat apa-apa keputusan lagi," kata Chai Kaa seperti apa yang dilaporkan dalam Sin Chew Jit Poh.

Beliau berkata, dalam sesebuah negara, ia tidak boleh mempunyai dua sistem undang-undang yang berlainan, jika tidak, ramai pelabur asing tidak akan lagi menanam modal di negara kita.

"Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya semata-mata untuk memenuhi keperluan satu agama tertentu. Kalau hukum hudud diluluskan, negara kita akan mempunyai dua sistem undang-undang sehingga boleh mencetuskan pelbagai masalah yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Chai Kaa berpendapat, setelah negara kita mencapai kemerdekaan sejak 1957, semua rakyat berbilang kaum sudah semestinya tidak mahu kehidupan mereka terjejas akibat masalah agama.

"Walaupun Malaysia mempunyai lebih daripada 60 peratus terdiri daripada rakyat yang beragama Islam, tetapi bagi lebih 30 peratus rakyat daripada bukan Islam seharusnya turut dilayan dengan adil.

"Saya tidak faham kenapa Persatuan Hokkien Malaysia boleh dituduh melakukan hasutan kerana sebagai negara yang berdemokrasi, setiap orang mempunyai hak untuk bersuara," kata beliau lagi.

Persatuan Hokkien Malaysia ketika ini melancarkan kempen mengumpul sejuta tandatangan untuk menolak pindaan Akta 355 dan kempen ini bakal ditamatkan pada 20 September depan dan diserahkan kepada semua 222 Ahli Parlimen.

Persatuan ini yakin mereka akan dapat mengumpul sejuta tandatangan daripada rakyat Malaysia bagi menentang rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah, Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 (Akta 355) dan Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan).

Pindaan itu dikatakan akan merintis jalan supaya hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-