Tuesday, August 23, 2016

Pembangkang mahu Nawawi dihukum walaupun sudah mohon maaf

Tarrence Tan
 August 22, 2016

Mereka mahu tindakan diambil terhadap Ahli Parlimen Langkawi kerana membuat aduan palsu
PETALING JAYA: Sekiranya Datuk Nawawi Ahmad merasakan permohonan maaf terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Facebook sudah memadai, beliau mungkin tersilap.

Salah seorangnya, Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng yang berpandangan permohonan maaf Nawawi itu bukti beliau membuat laporan polis palsu – laporan yang menafikan beliau berkata Yang di-Pertuan Agong adalah Malaysian Official 1 (MO1).

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam laporannya bulan lalu mendakwa MO1 didakwa menerima AS$731 juta yang digelapkan daripada 1MDB.

Butiran laporan DoJ itu berkata MO1 adalah “pegawai kanan Kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan penting dalam 1MDB”, dan individu itu mempunyai ikatan kekeluargaan dengan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Lip Eng berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu jelaskan adakah tindakan boleh diambil terhadap Nawawi.

“Tidakkah Nawawi perlu ditahan?” soal Ahli Parlimen Segambut kepada FMT.

Rakannya Teresa Kok berkata Nawawi perlu meminta maaf secara menghadap dan memohon keampunan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata Ahli Parlimen Langkawi itu perlu dipertanggungjawabkan kerana membuat kenyataan secara semborono.

“Memandangkan Nawawi daripada Umno, presidennya Najib Razak perlu membuat teguran kerana membuat kenyataan semberono yang menghina Agong.”

Bekas Wanita Umno Anina Saadudin pula lebih memaafkan, dan berpandangan semua orang pernah membuat silap.

“Belajar daripada kesilapan itu. Jangan ulangi kesilapan yang sama. Jika kamu buat juga, kamu memang tolol.”

Katanya Nawawi akan kehilangan kerusi Parlimen jika mengulangi kesilapannya kerana rakyat tidak mahu wakil rakyat yang tidak punyai tiada “class”.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Nawawi perlu mohon maaf kepada semua rakyat Kedah, kerana Agong sekarang adalah Sultan Kedah.

Nawawi baru-baru ini mengundang kontroversi kerana berhujah mengikut Perlembagaan Persekutuan, Agong ialah MO1.

Beberapa orang terkemuka, termasuk bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendesak Nawawi mohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan derhaka itu.

Lapan laporan polis dibuat terhadapnya setakat ini, termasuk satu daripada Anina.

Nawawi kemudiannya mendakwa kenyataannya disalahfaham dan hari ini memohon maaf kepada Agong. Kenyataan itu disiarkan di Facebook.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-