Monday, August 22, 2016

'Perpaduan Umno kukuh, sekarang waktu terbaik PRU'

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Pilihan Raya Umum Ke-14 boleh dipertimbangkan untuk diadakan pada masa terdekat memandangkan perpaduan yang kukuh di kalangan anggota parti itu ketika ini.

Jelasnya, meskipun Umno kini berdepan pelbagai dugaan termasuk bekas pimpinan parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan parti baru, namun keadaan itu tidak menggugat perpaduan dalam Umno.

“Dalam masa sama, pakatan pembangkang sedang menghadapi perpecahan sesama mereka, jadi saya fikir dengan perpaduan yang ada sekarang merupakan waktu terbaik untuk bergerak ke arah PRU-14.

“Bagaimanapun, keputusan muktamad terletak pada tangan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kita akan memberi sokongan padu,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Katanya, pada masa ini tidak ada gerakan besar-besaran dalam kalangan ahli Umno mengumumkan keluar parti untuk menyertai parti politik berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, parti politik hari ini tidak boleh lagi bergantung harap dengan janji atau manifesto kepada rakyat untuk meraih undi sebaliknya perpaduan dan konsep bekerjasama menjadi penilaian penting.

Ahmad Shabery turut mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar apabila Umno BN membuktikan prinsip tersebut.

“Sehebat mana pembangkang mencari isu, tetapi pada hakikatnya mereka turut diselubungi pelbagai masalah dalaman yang gagal diselesaikan sehingga hari ini,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, Ahmad Shabery ketika mengulas parti baru Tun Mahathir berkata, beliau percaya ramai ragu-ragu tentang keupayaan parti berkenaan.

Malah katanya, di pihak pembangkang sendiri, parti baru itu dilihat hanya memecahbelahkan lagi sesama mereka.

“Persoalannya adakah PKR mampu menerima parti itu menjadi sebahagian daripada mereka kerana sejarah menunjukkan apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah berpunca daripada tindakan Tun Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu,” katanya.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang ditubuhkan baru-baru ini hanya menerima keanggotaan daripada masyarakat bumiputera.

Namun, masyarakat bukan bumiputera boleh menjadi ahli bersekutu dan dilantik ke jawatan dalam parti tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-